Carian  
19 Mei 2012 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Enam kolej awam jadi universiti 1 Februari Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 16 Januari 2007

KUALA LUMPUR 16 Jan 2007-Semua enam kolej universiti awam akan bertukar nama kepada universiti, berkuat kuasa 1 Februari ini, ditunda lewat sebulan dari tarikh asal pelaksanaan yang dijadualkan pada 1 Januari lalu.

   Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan, berkata langkah itu diambil selepas mempertimbangkan pelbagai perkara berkaitan, termasuk proses undang-undang diperlukan.

   Beliau berkata, pihak pengurusan semua kolej universiti berkenaan sudah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan terbaru itu.

   Katanya, kolej universiti terbabit ialah Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM).

   Selain itu, Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM).

   Walaupun bertukar nama kepada universiti, fokus penawaran program pengajian di kolej universiti berkenaan tidak berubah dan enrolmen juga antara 10,000 hingga 15,000.

   Dari segi struktur pengurusan pula, ia sama seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain dengan jawatan Rektor dan Timbalan Rektor ditukarkan kepada Naib Canselor serta Timbalan Naib Canselor,” katanya.

   Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed, merasmikan Knowledge Management And Performance Conference 2007 di Kuala Lumpur, semalam.

   Hadir sama Penolong Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Rahmat Mohamad, mewakili Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah.

   Ditanya luahan sebilangan pelajar kolej universiti terbabit yang kurang senang dengan penggunaan istilah `naik taraf kepada universiti’ dalam pengumuman sebelum ini kerana seolah-olah memberi imej mereka berstatus `kelas kedua’, Zulkefli berkata, ia hanya kesilapan persepsi dan tanggapan.

   Beliau berkata, pengajian di kolej universiti setaraf dengan universiti, di samping menepati matlamat penubuhannya yang memfokus kepada kelahiran graduan lebih ‘hands on’.

   Mengenai perkembangan lain, Zulkefli berkata, kira-kira 80 peratus lulusan diploma dan 70 peratus graduan ijazah IPTA tahun lalu, sudah bekerja atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

   Beliau berkata, rekod ‘menjejaki’ itu hanya membabitkan tempoh enam bulan pertama selepas pelajar berkenaan menamatkan pengajian di IPTA masing-masing.

   Sehubungan itu, bilangan sebenar graduan yang mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran mungkin lebih ramai selepas tempoh enam bulan berkenaan.

   Semua IPTA kini mengemukakan laporan jejak graduan masing-masing kepada kementerian secara online.

   Bagaimanapun, kementerian sedang berusaha membangunkan suatu sistem menjejaki yang lebih menyeluruh berasaskan pemberian maklumat secara sukarela oleh graduan,” katanya.

   Sementara itu, Mustapa dalam teks ucapannya yang disampaikan Zulkefli pula berkata, universiti perlu memberi penekanan penting terhadap kegiatan penyelidikan bagi terus menjana ilmu terkini dan bertaraf dunia.

                                                                                                                        -Berita Harian-

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement