Carian  
19 Mei 2012 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 30,000 mohon jawatan di UMK Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Parlimen Jeli    
Posted by: umnojeli_admin 15 Januari 2007

KOTA BHARU 15 Jan 2007 - Kementerian Pengajian Tinggi menerima kira-kira 30 guni surat permohonan bagi mengisi 176 jawatan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), kata Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed.

   "Saya tidak menduga kekosongan jawatan di UMK mendapat sambutan memberangsangkan sehingga sejumlah kira-kira 30,000 surat permohonan diterima untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.

   "Kajian kita mendapati permohonan jawatan di UMK merangkumi dua kategori utama iaitu anak tempatan dan mereka yang ingin mengembangkan kerjaya," katanya selepas perjumpaan dengan pengetua, guru besar dan Pegawai Pelajaran Daerah Tanah Merah di sini, semalam.

   Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Muhammad Idris Saleh; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Mafauzy Mohamed dan Pengarah Hospital USM, Dr Zaidun Kamari.

   Beliau berkata, sebahagian besar daripada permohonan yang diterima ialah daripada anak tempatan yang sudah berkerja sama ada dengan kerajaan atau swasta tetapi memohon berkhidmat di UMK.

   "Termasuk dalam kumpulan ini adalah anak Kelantan yang ketika ini bekerja di merata tempat di luar Kelantan terutama di Kuala Lumpur tetapi berhasrat kembali menabur jasa di tanah kelahiran.

   "Kumpulan kedua pula membabitkan mereka yang baru menamatkan pengajian dari insitusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau di luar negara serta belum ada pekerjaan.

   "Kita menghargai minat yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak untuk berkhidmat dengan UMK dan berhasrat ia menjadi petanda universiti ini kini berada pada landasan yang betul untuk mencapai kejayaan," katanya.

   Dalam perkembangan berasingan, Mustapa berkata, kerajaan menerima hakikat ada rakyat Malaysia memilih bekerja di luar negara sama ada dengan syarikat tempatan atau asing.

   "Sebagai sebuah negara pesat membangun, tentu kita mahu lebih ramai rakyat menyumbang kepada negara tetapi kita sedar tidak mampu menyediakan peluang yang lumayan seperti ditawarkan negara luar kepada semua.

   "Sebab itu kita tidak menghalang apabila ada memilih bekerja di luar negara, lebih-lebih lagi jika bekerja dengan syarikat tempatan khususnya di negara seperti di Arab Saudi dan Sudan.

   "Mereka berbuat demikian untuk menimba pengalaman atau meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga, tetapi kita yakin suatu hari nanti mereka akan kembali untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

   "Bagaimanapun, dalam bidang tertentu yang kita masih kekurangan seperti perubatan, farmasi dan saintis, kita menggalakkan mereka pulang berkhimat di sini selepas menamatkan pengajian." katanya.

   Terdahulu, Mustapa turut menerima sumbangan kelengkapan bantuan pesakit bernilai RM40,000 daripada Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) untuk kegunaan HUSM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

                                                                                                                          -Berita Harian-

 

  

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement