KUALA LUMPUR 05 FEBUARI 2009 - Usaha untuk meningkatkan bidang pertanian negara dengan kerjasama Republi Indonesia terus dicanang oleh YB.Dato’ Mustapa Mohamed bersama deligasi dari 21 sehingga 27 Januari 2009 iaitu ke Jakarta, Bandar Lampung di Sumatera Selatan, Malang dan Surabaya di Jawa Timur baru-baru ini.
Tiga intipati utama lawatan kerja tersebut adalah untuk meninjau kemajuan yang dicapai khusus dibidang penternakan, akuakultur dan asas tani di samping meninjau perkembangan dan teknologi terkini di dalam sektor ternakan dan perikanan.
Selain itu tujuan lawatan juga turut meninjau peluang pelaburan oleh syarikat swasta Malaysia di dalam sektor pertanian terutamanya bidang ternakan dan pengeluaran makanan ternakan
Sehubungan dengan itu, usaha mengeratkan persefahaman dan hubungan kerjasama kedua-dua negara di dalam sektor pertanian terutamanya di dalam bidang ternakan dan akuakultur turut menjadi objektif utama.
Hasil lawatan berkenaan, YB.Dato’ Mustapa Mohamed bersama deligasi melawat Pusat Fidlot PT Santosa Agrindo (Santori) di Bekri yang merupakan pusat fidlot terbesar di Asia Tenggara dengan keupayaan kapasiti pengeluaran sebanyak 80,000 ekor lembu setahun. Pembangunan dan pengurusan fidlot ini boleh dijadikan sebagai model untuk pelaksanaan sistem fidlot di Malaysia
Deligasi juga melawat JAPFA Commfeed yang merupakan antara pengeluar utama makanan ternakan di Bandar Lampung. Ia berupaya mengeluarkan makanan ayam dengan kapasiti 30 tan metrik sejam dan pengeluaran tahunannya setakat ini adalah sekitar 200,000 tan metrik. Kilang ini mendapatkan bekalan bahan mentah jagung segar daripada penduduk di sekitar Lampung bagi memastikan kualiti produk sentiasa berada pada tahap terbaik.
Di samping itu, delegasi telah dibawa melawat ladang ternakan tenusu dan pusat pengumpulan susu milik PT Greenfileds di Gunung Kawi, Malang, Jawa Timur. Ladang ini adalah yang terbesar di Indonesia dengan 4,000 ekor lembu jenis Holstein-Friesian (HF) dan purata seekor mampu mengeluarkan 5,000 liter susu setiap tempoh laktasi (305 hari). Ladang ini juga mempunyai pusat pemprosesan susu yang menghasilkan produk susu seperti susu pasteurais dan susu UHT.
Delegasi juga melawat projek ternakan kambing baka Peranakan Etawah (PE) atau kacukan Jamnapari di sekitar Desa Ampel Gading
Bagi industri akuakultur, delegasi telah melawat ke Ladang Ternakan Udang Bersepadu milik Charoen Pakhpond (CP) di PT Central Pertiwi Bahari
Semasa di Surabaya, delegasi berpeluang melawat pusat ternakan dan peliharaan burung walit secara captive (dalam kurungan) yang pertama di dunia yang dijalankan oleh Syarikat Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd. ,sebuah syarikat dari Malaysia
Antara lainnya, delegasi telah berpeluang melawat perusahaan industri berasaskan kulit di Tanggul Angin, Sidoerjo, Surabaya. Industri ini telah berjaya menjadikan Tanggul Angin sebagai tumpuan pelancong bagi mendapatkan barangan kulit yang murah namun berkualiti tinggi. Di samping itu juga delegasi telah melawat ke kilang pemprosesan keropok serta pusat jualan makanan ringan di kawasan tersebut.
Dalam sidang lawatan yang sama Y.B Dato’ Mustapa Mohamed dan deligasi juga telah berpeluang mengadakan perjumpaan bersama komuniti dan pelajar Malaysia di republik tersebut.