
SEPANG 08 Jan 2007- Dua menteri antara 380 jemaah haji yang selamat sampai ke tanah air pagi semalam dengan pesawat pertama dari Jeddah.
Pesawat MH8201 membawa Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Mustapa Mohamed dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berlepas dari Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz Jeddah dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi semalam.
Penyelaras Haji dan Sewa Khas Penerbangan Malaysia (MAS), Md Kassim Abd Wahab berkata penerbangan itu terlewat tiga jam berikutan kesesakan di lapangan terbang Arab Saudi apabila jemaah dari seluruh dunia mula kembali ke negara masing-masing sejak semalam.
“Jemaah haji faham masalah itu dan tiada yang merungut,” katanya di KLIA disini, semalam.
Md Kassim berkata, 36 penerbangan MAS dijadualkan membawa 26,000 jemaah haji Malaysia secara berperingkat mulai kelmarin hingga 31 Januari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 13 membabitkan penerbangan dari Jeddah ke KLIA, Madinah ke KLIA (satu), Jeddah ke Pulau Pinang (sembilan), Jeddah ke Johor Bahru (empat), Jeddah ke Kota Kinabalu (dua) dan Jeddah ke Kuching (dua).
Beliau berkata, pesawat terakhir MAS yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijangka tiba di KLIA pada1 Februari ini (pesawat MH8273, jam 2.15 pagi)
Sementara itu, Pengurus Besar Kebajikan Tabung Haji, Mohd Salleh Abd Mubin, berkata tiada masalah kesihatan serius kecuali cuma keletihan dan mengambil masa menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanahair Tabung Haji, berkata tiada penumpang penerbangan pertama itu yang sakit, tetapi pihaknya tetap menyediakan paramedik di KLIA.
“Kita juga mempunyai kenderaan untuk membawa pesakit dari KLIA jika ada yang perlu dirujuk ke hospital terdekat,” katanya.
Salah seorang jemaah, Mohd Shafie Mohd Anifa, 48 berkata ini kali kedua beliau mengerjakan haji dan kali pertama dibuat menerusi Tabung Haji.
Katanya, pertama kali dia mengerjakan ibadat itu pada 2003 dengan pakej syarikat swasta.
Beliau berkata, perjalanan dengan Tabung Haji lebih selesa kerana penginapan dan pengangkutan yang lebih baik.
-Berita Harian-