PUTRAJAYA 13 Dis 2006 - Kementerian Pengajian Tinggi mengakui kelalaian pengurusan universiti mungkin menjadi punca beberapa ijazah sarjana muda profesional tidak diiktiraf kerajaan walaupun pelajar sudah tamat pengajian.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata universiti yang menawarkan program diploma atau ijazah sarjana muda yang baru mesti memohon pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setahun sebelum pelajar tamat pengajian.
" Universiti juga perlu memohon akreditasi daripada badan profesional berkaitan bagi program profesional seperti kejuruteraan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Kualiti dan Integriti kementerian di sini semalam.
Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan yang disiarkan dalam ruangan Surat dan e mel Berita Harian Khamis lalu berhubung beberapa program kejuruteraan di kolej universiti awam tidak diiktiraf JPA.
Penulis mendakwa antara kolej universiti awam terbabit ialah Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Kustem) serta Kolej Universiti Kejuruteraan Utara (Kukum) yang masih belum diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Lembaga Jurutera Malaysia (Bem)
-Berita Harian-