PUTRAJAYA 11 Dis 2006 - Kerajaan bersetuju mewujudkan biasiswa khas berjumlah RM3 juta setiap tahun, khusus buat mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan sama ada di peringkat universiti, kebangasaan dan antarabangsa, kata Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, ia merpakan satu insentif kerajaan bagi meningkatkan lagi mutu sukan di kalangan penuntut universiti, di samping melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang.
"Setakat ini 75 mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan sudah terpilih untuk menjalani sesi temuduga bagi biasiswa tersebut. Diharapkan biasiswa ini bukan sahaja dapat menjadikan mereka lebih aktif dalam bidang sukan, tetapi juga dapat meningkatkan mutu pencapaian akademik mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada Kontinjen Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), yang akan menyertai temasya Sukan Universiti ASEAN (SUA) 2006 di Hanoi, Vietnam, di sini hari ini.
Kontinjen MASUM terdiri daripada 250 orang pegawai dan atlet dari pasukan bola sepak, bola tampar, renang, bola keranjang, badminton, taekwondo, ping pong, karate-do, tenis, pencak silat, catur serta olahraga yang akan mengambil bahagian dalam SUA 2006 dari 16 hingga 22 Disember.
Katanya, biasiswa yang akan mula disampaikan hujung bulan Januari ini mempunyai nilai yang berbeza mengikut peringkat sukan yang disertai oleh atlet terbabit.
"Nilainya berbeza sedikit, kalau perinkat antarabangsa akan tinggi sedikit, peringkat kebangsaaan sederhana dan peringkat universiti rendah sedikit," katanya.
Selain itu terdapat juga insentif lain yang diberikan kepada atlet universiti, iaitu dari latihan dan juga kelonggaran dari segi tempoh pengajian yang lama berbanding mahasiswa lain.
"Ini penting kerana jika terlalu memberi perhatian kepada akademik hingga melupakan aktiviti sukan, ia akan menjejaskan pencapaian mahasiswa," katanya.
Sementara itu Mustapa berkata, Kementerian Pengajian Tinggi akan melakukan audit terhadap semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi menilai semula kualiti pembelajaran di institusi berkenaan.
Mustapa berkata, suatu tindakan tegas perlu diambil sekiranya ada antara IPTS berkenaan didapati memiliki kualiti pembelajaran yang rendah.
"Sebagai konsumer, amat wajar bagi ibu bapa untuk mengetahui mutu sesebuah IPTS itu sebelum mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sana," katanya.
-Bernama-