
YB.Aziz Derasyid Menyampaikan Sijil Pengiktirafan Ahli WPU
JELI 25 OGOS 2008 - Satu Unit Perlindungan Hidupan Liar (WPU) pertama di Malaysia yang terdiri daripada 21 masyarakat kampung Lubok Bongor ditubuhkan dekat sini dalam usaha mengurangkan konflik antara penduduk tempatan dengan hidupan liar baru-baru ini.
Ketua Pengarah Eksekutif WWF, Malaysia, Dato' Dr. Dionysius Sharma berkata, unit ini berfungsi sebagai pengawal dan melakukan rondaan pada waktu malam di sepanjang jalan dan sungai bersenjatakan alatan asas seperti lampu suluh, hon dan haler untuk mencipta bunyi bising bagi menghalau gajah.
“Kumpulan yang terdiri dari petani hinggalah ahli perniagaan dilatih serta dedahkan dengan kaedah –kaedah terbaik dalam menghadapi konfilk ini oleh pakar-pakar dari HUTAN dan NGO dari Perancis.
“Melalui sesi latihan yang diberikan, unit ini kemudiannya di latih untuk bertindak buat pertama kalinya menghalau sekumpulan gajah liar yang memasuki kebun pisang.Jelasnya, amat mengagumkan apabila kumpulan yang pertama kali dilatih itu berjaya menghalau kumpulan gajah berkenaan menyeberangi sungai ke hutan berdekatan.
“Melalui kerjasama WWF dan YTL Corporation Berhad, kita cuba membangunkan Amalan Pengurusan Baik (BMPs) bagi mengurangkan konflik yang berlaku. selain merangkumi pembinaan pagar di kawasan kebun dan sebagainya.
Tambah Dato' Sharma lagi, gajah-gajah liar ini perlu di pindahkan ke tempat yang lebih selamat demi keselamatan dan keamanan penduduk kampung.
“Penyelarasan adalah perlu dengan agensi yang berkaitan terutama dalam perancangan penggunaan tanah bagi mengelakkan konfilk dari terus berlaku dalam jangka masa panjang.
Berdasarkan maklumat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Jeli, sebanyak 92 kes di laporkan pada tahun 2007 berbanding 26 kes pada tahun 2006 yang melibatkan ancaman gajah.
Penerokaan hutan untuk penempatan dan pembukaan ladang-ladang untuk pertanian merupakan antara punca berlakunya konflik antara penduduk dengan hidupan liar.
Bagi Timbalan Pengarah PERHILITAN Kelantan, Zaharil Dzulkafly, berkata, pengambilan penduduk-penduduk kampung sebagai unit sukarelawan ini adalah satu inisiatif terbaik kerana mereka mempunyai kefahaman lebih baik bagi mengurangkan konflik yang berlaku.
Tambahnya, orang kampung tidak perlu ragu-ragu untuk memaklumkan PERHILITAN jika berlaku sebarang kejadian melibatkan hidupan liar.
Turut turun padang memberikan sokongan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Abdul Aziz Derashid.
Dalam pada itu,bagi Ketua Unit WPU, Hamdan Musa berkata, masyarakat perlu berkongsi tanggungjawab mengurangkan konfilk yang berlaku.
“Saya percaya unit ini akan memberikan kemudahan kepada penduduk kampung dan secara tidak langsung ianya juga membantu diri saya sendiri.

Aziz Derashid(ke empat kiri, tengah) bersama wakil-wakil PERHILITAN, HUTAN dan WWF.