
KOTA BHARU 28 Nov 2006 - " Harimau itu bagaikan kelaparan ketika menerkam dan cuba membaham kepala saya sebaik kami bertembung di lorong pokok getah di puncak bukit itu", kata Mek Jah Semail, mangsa terbaru serangan harimau di Jeli, Kelantan
Warga emas berusia 65 tahun itu berkata, dia terus bergelut melepaskan diri daripada cengkaman haiwan itu sambil membacakan ayat al-Quran, meskipun terjatuh beberapa kali akibat terkaman harimau terbabit.
"Saya bernasib baik kerana ketika pergelutan itu saya sempat mencapai kayu sebelum memukul sekuat hati di muka harimau itu sehingga ia berundur dan melarikan diri.
"Saya ibarat mati hidup semula kerana terselamat. Sebelum ini lebih lima kali saya bertembung harimau di kebun tetapi tiada kejadian tidak diingini ", katanya.
Ketika kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, Mek Jah sedang menoreh bersendirian di kebun getah kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Kampung Sungai Long.
Mek Jah berkata, selama ini harimau yang berkeliaran itu kelihatan jinak, tetapi mungkin disebabkan kelaparan dan terkejut, ia menerkam dan cuba membahamnya.
Beliau yang cedera parah dipindahkan dari Hospital Jeli petang kelmarin dan menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan 20 jahitan di kepala, leher, lengan dan dada.
Mek Jah berkata, beliau yang menoreh bersendirian kerana suaminya uzur sejak empat tahun lalu terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam melalui laluan berbukit.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan semalam memasang empat perangkap berumpankan kambing dalam usaha menangkap harimau berkenaan.
Selain 10 petugas Perhilitan, operasi memantau harimau itu turut dibantu 20 anggota Rela Jeli diketuai Koperal Shaari Ismail.
Timbalan Pengarah II Perhilitan Kelantan, Wan Azali Wan Alwi, berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mengesan lebih tiga ekor harimau belang termasuk sepasang dewasa dan seekor anak berkeliaran di kawasan itu.
"Harimau yang menyerang Mek Jah dipercayai anak, berusia sekitar dua tahun kerana terkaman harimau dewasa biasanya boleh menyebabkan kematian mangsa," katanya.
Sementara itu bercakap ketika melawat mangsa di HRPZ II, semalam Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pihaknya menjalankan kempen membersih kebun di Jeli bagi mengelak serangan harimau berulang.
Beliau juga berkata, isu harimau mengganas di sekitar Jeli sehingga mengancam keselamatan penduduk, khususnya penoreh getah akan dibentangkan ke Kabinet esok bagi mencari penyelesaian terbaik.
Katanya beliau mahu mendapatkan pandangan Kabinet bagi memastikan kehidupan ribuan penoreh getah sekitar Sungai Rual Kuala Balah dan Sungai Long, di jajahan ini tidak diganggu haiwan berkenaan.
-Berita Harian-