Carian  
19 Mei 2012 ..:: e-Buletin ::..   Daftar Masuk
 Pisau Toreh Selamatkan Wanita Diserang Harimau Minimize
Location: BlogsBuletin JeliBerita Umum    
Posted by: umnojeli_admin 27 November 2006

Elakkan Serangan Harimau

SUNGAI LONG 26 Nov 2006 - Pisau menoreh getah dan sebatang kayu dipercayai menjadi senjata menyelamatkan nyawa seorang wanita warga emas yang diserang harimau ketika sedang menoreh di kebun getahnya di Sungai Long di Jeli hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, Mek Jah Ismail, 65, mengalami kecederaan parah di kepala, tengkok, bahu dan dada akibat diterkam harimau yang kemudiannya lari setelah ditakutkan dengan pisau toreh dan sebatang kayu.

Adik ipar Mek Jah, Hussein Yusuf, 65, ketika ditemui Bernama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini berkata kakak iparnya itu bersendirian ketika diserang seekor harimau belang dan sempat memaklumkan kepada seorang jirang yang menoreh di kebun berhampiran.

"Dia (Mek Jah) sempat memberitahu seorang jiran yang menoreh berdekatan untuk membawanya ke hospital kerana dia diserang harimau, sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Mek Jah kemudiannya dihantar ke Hospital Jeli sebelum dipindahkan ke HRPZ II.

Menurut seorang anak tiri Mek Jah, Hani Rashid, 50, keadaan ibu tirinya agak membimbangkan namun ketika beliau melawat Mek Jah di Unit Rawatan Rapi HRPZ II, ibunya itu sudah mulai sedar.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kententeraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), ASP Wan Abdul Razak Ismail berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pada 12.30 tengah hari.

" Ketika membuat pemeriksaan di tempat kejadian, polis menjumpai kesan darah mangsa dan beberapa kesan tapak kaki harimau serta pisau toreh milik wanita berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Wan Azali Wan Alwi ketika dihubungi Bernama berkata, beberapa orang kakitangannya telah dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat.

Wan Azli berkata, operasi mengesan harimau berkenaan dimulakan petang ini. Beberapa pegawai Perhilitan Kelantan juga dihantar ke hospital untuk melawat mangsa.

Ogos lepas, seorang penoreh getah, Rokiah Latif, 45, ditemui mati dengan kepala dan badannya terputus dipercayai diserang harimau ketika sedang menoreh di Kampung Pasir Dusun, Jeli.

~Bernama~

Permalink |  Trackback

  

 Kategori Minimize

      

 Buletin Jeli Minimize

    

 Buletin Jeli Minimize

    

Hak Cipta Terpelihara © 2006 HeiTech Padu Berhad   Terms Of Use  Privacy Statement