
Simbolik Perasmian PUSPA Tani
GEMANG 08 JUN 2008 – “…program hari ini bukan semata-mata suka-suka atau sia-sia…hari ini kita membuka PUSPA Tani untuk membuka mata dan minda masyarakat Jeli tentang pentingnya bidang pertanian” demikian lah kata-kata YB.Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa ucapan perasmian di Majlis Pelancaran Pusat Urusan Sehenti Perkhidmatan dan Informasi Agro Tani (PUSPA Tani) dan Hari Terbuka Bersama Pakar Pertanian Universiti Putra Malaysia, dekat sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, YB.Dato’ Mustapa amat berharap agar masyarakat terutamanya masyarakat Jeli menyambut baik saranan dari pihak kerajaan yang menyatakan bahawa pertanian adalah satu perniagaan.
“…saya berharap agar masyarakat Jeli mengambil peluang keemasan ini untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian…Jeli merupakan kawasan keempat dibawah Projek Khas Pertanian Negara yang mana masing-masing di Pagoh (Muar,Johor), Kepala Batas (Pulau Pinang), dan Sik (Kedah),tambah beliau.
Puspa Tani di Jajahan Jeli ini adalah dibawah penyelarasan MoA Inc Kelantan.Di pusat ini semua agensi pertanian di bawah Kementerian berpejabat setempat bagi memudahkan masyarakat terutamanya golongan petani untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan dan bantuan pertanian.Sehubungan dengan itu juga, PUSPA Tani di lengkapi dengan dengan kemudahan ICT dan segala maklumat releven dengan keperluan setempat.
Dalam majlis yang sama, YB.Dato’ Mustapa berkesempatan melawat ke gerai-gerai jualan dan pameran yang disertai oleh Universiti Pertanian Malaysia, petani-petani dibawah bimbingan pelbagai agensi dibawah Kementerian Pertanian antaranya pengusaha jualan buah-buahan, pengusaha semaian anak benih, pengusaha tanaman cendawan, pengusaha makanan dan ramai lagi.

YB.Dato' Mustapa Semasa Lawatan Ke Gerai Peserta Pertanian