PUTRAJAYA 01 Nov 2006 - Kerajaan akan mewujudkan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) yang bernilai RM40 juta pada tahun depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, akademi itu akan membolehkan kakitangan pengurusan dan tenaga pengajar di semua universiti awam menjalani kursus kepimpinan secara lebih berkesan dari masa ke masa.
Katanya lagi, ia juga berperanan sebagai pusat penyelidikan terhadap isu semasa yang berkaitan dengan sistem pengurusan universiti.
"Kementerian Pengajian Tinggi telah membuat perancangan untuk membina Akept di Nilai, Negeri Sembilan, bermula tahun depan.
"Tetapi sementara menunggu bangunan itu siap, Akept akan beroperasi dan menggunakan kemudahan di kampus kota Universiti Malaya (UM)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya peringkat kementerian di sini hari ini.
Mustapa memberitahu, Akept terbahagi kepada tiga unit utama iaitu Unit Latihan Kepimpinan, Unit Pengendalian Latihan Pemimpin (TOT) dan Unit Penyelidikan Kepimpinan.
"Akept akan diketuai oleh seorang pengarah yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Kementerian," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Yayasan Tunku Abdul Rahman tidak akan menawarkan sebarang bentuk pinjaman pengajian tinggi sebaliknyamemberikan biasiswa kepada pelajar universiti yang terpilih.
Mustapa yang juga pengerusi yaysan berkenaan berkata, langkah itu diambil kerana sebelum ini kerajaan telah mewujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berperanan menawarkan pinjaman pengajian tinggi.
"Biasanya yayasan itu terbuka kepada pelajar universiti tahun dua tetapi mereka perlu memiliki gred purata mata kumulatif (CGPA) melebihi 3.5 dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
"Buat masa kini kita telah menerima sebanyak 117 permohonan tetapi 60 orang sahaja yang akan dipanggil untuk proses temuduga tidak lama lagi," katanya.
-Sinar Harian-