BATU GAJAH 31 Okt 2006 - Warga emas berusia 73 tahun maut apabila dirempuh sebuah motorsikal Yamaha RXZ di hadapan Balai Polis Batu Gajah dekat sini.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.40 tengahari itu mengakibatkan mangsa mati di temapt kejadian setelah mengalami cedera parah di bahagian muka dan kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Anua Mohamad, mangsa yang datang dari arah Sekolah Menengah Batu Gajah melintas lebuh raya berkenaan menuju ke arah Tanah Merah.
"Motorsikal Yamaha RXZ terbabit yang datang dari arah Jeli tidak dapat mengelak dan terus melanggar motorsikal mangsa di bahagian sisi sebelah kanan," katanya.
Penunggang dan pembonceng motorsikal Yamaha RXZ itu pula dihantar ke Hospital Tanah Merah dengan kereta orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Akibat perlanggaran itu, tayar hadapan motorsikal mangsa tercabut serta pemegangnya bengkok.
Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, pagi sebelum kejadian dia sempat berbual dengan mangsa di wakaf tidak beberapa jauh daripada tempat kejadian.
"Dia berbincang tentang motorsikal anaknya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.
Menurut rakan itu lagi, mangsa yang tinggal di Kampung Kelisar dekat sini merupakan seorang yang peramah dan mudah dibawa berbincang.
"Mangsa memang ada anak yang bersekolah menengah. Biasanya anak tirinya yang mengambil anak mangsa yang bersekolah itu," jelasnya.
-Sinar Harian-