KOTA BHARU 28 Okt 2006 - Menteri Pengajian Tinggi Dato' Mustapa Mohamed berkata beliau difitnah mengatur strategi memenangi pilihan raya di Kelantan dengan bantuan pelajar universiti.
"Itu satu fitnah ", katanya ketika ditanya berhubung lapopran media pembangkang bahawa beliau mendalangi pertemuan dengan Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti bagi mengatur program pelajar masuk kampung untuk tujuan itu.
Mustapa berkata sebagai Menteri Pengajian Tinggi beliau mempunyai hak untuk berjumpa dengan semua kakitangan akademik universiti termasuk pensyarah dan pelajar dari semasa ke semasa bagi membentuk fikiran mereka supaya cintakan kemajuan, kejayaan dan keamanan untuk membina budaya cemerlang di kalangan mereka.
Pertemuan dengan semua pihak di universiti di seluruh negara dibuat bagi memenuhi tanggungjawabnya, katanya kepada pemberita semasa menghadiri program mesra Aidilfitri bersama anak-anak Kelantan yang berada di perantauan anjuran Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini.
Berhubung dakwaan beliau mengatur program sedemikian, Mustapa berkata setiap universiti mempunyai pelbagai program khidmat bakti siswa untuk berkhidmat kepada masyarakat di kampung-kampung.
"Kita mahu usaha melalui program sedemikian digembleng supaya lebih selaras bagi mencapai matlamat iaitu pelajar mencapai sesuatu dari segi ketrampilan dan kemahiran manakala penduduk kampung mendapat manfaat dengan kehadiran pelajar universiti", katanya
Sebelum itu, dalam ucapannya, Mustapa berkata penubuhan Universiti Malaysia Kelantan akan memberi penekanan kepada pendidikan berteraskan perniagaan dan keusahawanan selain kemahiran baru, warisan seni, teknologi dan bioteknologi.
Katanya universiti itu yang akan membuat pengambilan pertama mulai Julai tahun depan itu juga akan menjadi pusat pengajian tinggi berkualiti yang mampu menarik pelajar negara asing menerusi pengajian tinggi berkualiti yang mampu menarik pelajar negara asing menerusi pengajian bahasa asing seperti Arab dan Mandarin selain pengajian wajib Bahasa Inggeris.
Mustapa berkata dengan pembinaan universiti di Kelantan, ia merupakan kesinambungan kepada tradisi cintakan ilmu yang wujud sekian lama di negeri ini melalui pengajian pondok dan sekolah agama.
Katanya Kelantan paling ramai menghantar pelajar menuntut di institusi pengajian tinggi dengan bilangan mereka mencecah 80,000 daripada sejumlah 650,000 pelajar yang ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh negara.
Sementara itu, beliau mahu pelajar universiti yang layak mendaftar sebagai pemilih supaya segera berbuat demikian.
-Bernama-