
To' Pa Menjamu Selera Bersama Datuk Seri Di Majlis Hari Raya Aidil Adha Darul Falah
DARUL FALAH 21 JANUARI - Ahli Parlimen Jeli yang lebih mesra dengan panggilan To’Pa adalah seorang pemimpin yang cukup mengambil berat terhadap segala pemasalahan dihadapi rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya.
Demikian luahan kata daripada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien, ketika berucap pada program lawatan singkat bersama rombongannya ke kediaman Tok' Pa di Darul Falah, Jeli, baru-baru ini.
Menurut Hishammudin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, sikap itu dibuktikan apabila ada pemasalahan rakyat di kawasan diwakili, To’Pa sentiasa membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat jemaah menteri walaupun isu itu dianggap remeh-temeh.
Sebagai contoh, isu serangan gajah dan harimau yang mengancam tanaman dan penduduk Jeli turut dikemukakan dalam mesyuarat kabinet dan hasilnya kerajaan bersetuju meluluskan peruntukkan kira-kira RM2 juta bagi menyelesaikan masalah tersebut tahun lalu.
"Kita anggap isu itu remeh, tapi bagi To’Pa selagi isu berkaitan dengan kepentingan rakyat, ia adalah isu besar yang mesti diselesaikan segera. Inilah pemimpin yang dikasihi oleh segenap lapisan rakyat di kawasannya," katanya.