JELI 28 Sept 2006 - "Dekat sini makanan banyak, bermacam kuih-muih serta makanan lain dan di Mesir tidak sebanyak ini", kata Ahli Fatwa Mesir, Sheikh Muhammed Abdul Aziz Ghonem merujuk amalan berbuka puasa masyarakat Kelantan.
Beliau yang fasih menggunakan lohgat Kelantan ke negeri ini untuk turut serta menjayakan Program Ramadhan di Jeli.
Sheikh Muhammed yang lebih mesra dipanggil "Mat Kelate" dijadual menjadi imam tarawikh dan menyampaikan ceramah agama di 22 masjid dan beberapa musalla seluruh Parlimen Jeli.
"Di Mesir, rakyatnya beberapa kali khatam al-Quran sepanjang Ramadhan dan keadaan ini berbeza dengan Malaysia", katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bukit Nangka, di sini.
Menurutnya, menghabiskan satu juzuk untuk setiap malam ketika tarawikh telah menjadi amalan di Mesir.
Kedatangan Sheikh Muhammed ke Jeli adalah yang ketiga selepas berbuat demikian pada tahun 2003 dan 2005 atas undangan Ahli Parlimen Jeli, Dato' Mustapa Mohamed untuk memeriahkan Ramadhan di Jajahan itu.
-Sinar Harian-