KUALA
LUMPUR, 30 Jan – Menyedari warisan negara seperti pantun semakin
terpinggir, Ibu Pejabat UMNO telah menunjukkan keprihatinan atas setiap
usaha untuk memartabatkan warisan budaya ini apabila berbesar hati
menyampaikan sumbangan sebanyak RM 5,000 kepada Program Pesta Pantun
Bestari kali ke -5 anjuran Universiti Malaya.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Kerja UMNO,
Datuk Ab. Rauf Yusoh kepada Timbalan Pengarah Program tersebut, Muhammad
Firdaus Ainul Adnan di di pejabat beliau di Ibu Pejabat UMNO, Bangunan
Dato’ Onn, hari ini.
Ketika menyampaikan sumbangan tersebut, beliau turut mencadangkan
agar pihak pengelola program membukukan setiap pantun di pertandingan
itu kelak bagi memelihara warisan budaya ini.
“Saya berharap agar semua pantun ini akan dibukukan agar warisan ini
dapat terus dipelihara malah UMNO sendiri amat menyokong sebarang usaha
untuk memartabatkan warisan budaya dahulu kala ini,” ujarnya.
Timbalan Pengarah Program Pesta pantun in ketika ditemui pula
melahirkan rasa terima kasih kerana kesudian Ibu Pejabat UMNO menyokong
usah murni mereka dalam memelihara budaya warisan nenek moyang ini.
Menurutnya, bagi membawa sedikit kelainan pada program yang bakal
berlangsung pada 5-8 April akan datang, penyertaan kali ini bukan sahaja
terbuka kepada institut pengajian tinggi di dalam dalam negara tetapi
ianya juga terbuka untuk universiti-universiti di luar negara.
“Kita telah menghantar jemputan kepada beberapa universiti terpilih
di beberapa buah negara seperti Rusia, Indonesia dan Thailand. Mereka
telah menunjukkan minat untuk menyertai program ini dan kita masih
menanti pengesahan daripada mereka. Dengan cara ini, kita akan mampu
mengembangkan keindahan pantun ini ke luar negara,” katanya. - MediaUMNO