KUALA LUMPUR, 15 Jun – Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd Nazmi
Rosli percaya cabaran Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan
tidak akan dilayan oleh “Boss” lamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berhubung tuduhan membawa keluar negara wang kertas RM500 dan 1000
ketika Ketua Pembangkang terbabit menjadi Timbalan Perdana Menteri dan
juga Menteri Kewangan dahulu.
Menurut beliau cabaran saman oleh bekas anak didik Anwar itu akan
menjadi sejarah sepertimana cabaran oleh bekas-bekas pemimpin PKR
sebelum ini seperti Ezam Mohd Noor, Anuar Shaari, Datuk N.Nallakaruppan
dan banyak lagi termasuk Datuk Shazryl Eskay berhubung video seks
baru-baru ini.
“Bagi kita yang ada maruah, apabila adanya tuduhan dan dakwaan yang
boleh menjejaskan integriti serta kewibawaan, sudah pasti kita akan
sedaya upaya berusaha untuk membersihkan nama kita menerusi proses
undang-undang seperti saman malu dan sebagainya.
“Namun lain pula pendirian yang diambil oleh Anwar ini yang
seolah-olah apa yang diutarakan oleh rakan-rakan baik beliau sebelum ini
termasuklah daripada Ummi Hafilda Ali ada kebenarannya yang seolah-olah
tidak boleh dipertikaikan.
“Mungkin atas faktor kebenaran itulah, Anwar nampaknya khuatir jika
tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang melontarkan tuduhan
itu, maka perbicaraan akan berlangsung dan akan timbul pelbagai kisah
menarik untuk didengar. Jadi cabaran Gobala akan menjadi satu lagi
koleksi kepada Anwar Ibrahim,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Sebelum ini, Gobala mencabar Anwar Ibrahim supaya menyaman beliau di
mahkamah kerana menuduh Ketua Pembangkang itu melarikan wang kertas
RM500 dan 1000 berjumlah lebih 13 bilion ke luar negara ketika.
Jelas Gobala, selepas Tun Dr. Mahathir memecat Anwar daripada
kabinet, Dr. Mahathir juga telah menarik-balik penggunaan wang kertas
Malaysia bernilai RM500 dan RM1000.
Mohd Nazmi seterusnya berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin pada satu ketika pernah disaman oleh Anwar ekoran
perkataan “Anwar pengkhianat” yang dilontarkan oleh Tan Sri Muhyiddin.
Namun kata beliau apa yang menghairankan, dalam soal pendedahan yang
melibatkan hubungan dengan Shamsidar dan video seks tidak pula
menimbulkan kemarahan Anwar hingga beliau mengambil tindakan saman.
“Tindak-tanduk Anwar itu membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa
selagi beliau tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka yang
membuat pelbagai tuduhan sebelum ini, selagi itulah ianya mempunyai
asas.
“Justeru kepada penjilat tegar Anwar dari Pas khususnya, dan kepada
mana-mana pihak yang lain, bukalah mata dan renungkanlah tindak tanduk
Anwar itu. Berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya. -MediaUMNO