KUALA LUMPUR, 15 Jun – Polis meminta penganjur Perhimpunan Bersih
yang dicadangkan berlangsung di sini selain di Sabah dan Sarawak pada 9
Julai ini supaya membatalkannya kerana ia mengancam keselamatan.
“Kita amat khuatir dengan keselamatan dan ketenteraman awam yang akan
tergugat, dan aktiviti perniagaan terpaksa dihentikan ekoran daripada
perhimpunan itu,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu
Bakar.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri seminar bersama Ketua Polis Daerah di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.
Tegasnya polis tidak akan mengeluarkan sebarang permit untuk perhimpunan itu.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 418 laporan diterima daripada
pelbagai pihak termasuk peniaga, pengusaha kereta sewa dan pengusaha
pelancongan yang membantah perhimpunan itu diadakan.
Khalid berkata polis juga menerima laporan bahawa pada hari yang
sama, terdapat kumpulan lain yang berlainan ideologi merancang untuk
adakan perhimpunan.
“Ini mengundang kebimbangan sekiranya berlaku pertembungan antara dua kumpulan,” katanya.
Beliau berkata polis akan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk membuat tangkapan sekiranya perlu.
“Jika terdapat juga kumpulan yang ingkar dengan arahan polis, dengan
bukti yang ada, kita tidak teragak-agak untuk menangkap mereka,” kata
Khalid.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan itu
kerana banyak cara lain yang boleh dilakukan sekiranya untuk
membangkitkan sesuatu permasalahan.
“Saya percaya kerajaan tidak pernah menolak tepi apa jua
masalah-masalah yang dibawa ke hadapan. Oleh itu, saya ingin
menasihatkan kepada penganjur-penganjur agar hentikanlah niat mereka
untuk berhimpun,” katanya.