KUALA LUMPUR 14 Jun – Cadangan pilihan raya masjid di Pulau Pinang
membuktikan kerajaan pakatan pembangkang diterajui oleh DAP cuba
mencampuri urusan pentadbiran agama Islam di negeri berkenaan.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Ruslan
Kasim berkata seperti yang diketahui umum, Ketua Agama Islam di Pulau
Pinang adalah Yang Di Pertuan Agong, dan sebarang perubahan yang ingin
dilaksanakan perlu mendapat perkenan daripada baginda terlebih dahulu.

“Tindakan kerajaan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya masjid
menunjukkan bahawa mereka menidakkan kuasa Yang Di Pertuan Agong sebagai
Ketua Agama Islam di Pulau Pinang sama dengan negeri lain yang tidak
mempunyai sultan seperti Melaka, Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan negeri seharusnya mendapat perkenan yang Di Pertuan Agong
terlebih dahulu sebelum ingin membuat apa-apa perubahan, mengapa tidak
lakukan perkara yang sama kepada agama lain di Pulau Pinang,” katanya
kepada UMNO-Online.
Menurutnya, apa yang cuba yang dilakukan itu mungkin mempunyai agenda
lain yang tidak diketahui umum, tetapi apa yang jelas pilihan raya itu
boleh menimbulkan perpecahan di kalangan penduduk terbabit.
“Saya tidak nampak adanya kebaikan kepada pilihan raya itu, malah
akan menimbulkan perpecahan di kalangan penduduk di kariah yang
terlibat, apabila ada pertandingan sebegini, sedikit sebanyak akan
berlaku berpuak-puak antara mereka yang bertanding.
“Sepatutnya mereka kekalkan apa yang sudah dilakukan sebelum ini
sejak dahulu lagi, sebelum ini tiada sebarang masalah pun yang berlaku,
jika ingin buat perubahan kita perlu memikirkan apa yang dicadangkan itu
tidak menimbulkan masalah bukannya melakukan secara tergesa-gesa,”
katanya.
Ruslan berkata, Majlis Agama Islam Pulau Pinang sepatutnya merujuk
terlebih dahulu perkara itu kepada pihak berwajib seperti Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia atau menteri yang bertanggungjawab untuk
mendapat pandangan.
Beliau berkata, dalam ingin membuat apa jua perubahan, mereka yang
terbabit perlu memikirkan kesan daripada setiap perubahan yang ingin
dilaksanakan. -MediaUMNO.