KEPALA BATAS, 11 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan
Sri Nor Mohamed Yakcop berkata Pas perlu memperjelaskan dan
menghuraikan konsep negara kebajikan yang akan diamalkan oleh parti itu
kepada rakyat.
Katanya Pas perlu perjelaskan konsep itu kerana kerajaan Barisan
Nasional (BN) bukan sahaja sudah lama mengamalkan konsep negara
kebajikan sebaliknya mempunyai nilai tambah iaitu transformasi ke arah
negara maju menjelang 2020.
“Jadi saya dan rakyat nak juga tahu negara kebajikan yang bagaimana
mereka (Pas) cuba amalkan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan
sewa rumah di sini hari ini.
Nor Mohamed, yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor, berkata
demikian ketika mengulas dasar perjuangan baru Pas dari negara Islam
kepada negara berkebajikan seperti yang dicanangkan parti itu pada
Muktamar PAS ke-57, minggu lepas.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan bantuan
bayaran sewa rumah sebanyak RM162,192 kepada 109 ketua isi rumah di
Pulau Pinang untuk tahun ini.
“Setiap keluarga akan menerima sebanyak RM1,488 dan mereka merupakan
keluarga yang tersenarai dalam sistem e-Kasih di bawah kategori miskin
tegar dan miskin bandar,” katanya.