SHAH ALAM, 11 Jun – UMNO Shah Alam hari ini meminta kerajaan
memansuhkan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan di
sini,yang dilihat semakin membebankan pengguna terutama yang
berpendapatan rendah.
Perkara itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan Ketuanya,
Datuk AhmadNawawi M. Zin kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu
Mansor menerusi Setiausaha Politiknya, Datuk As’ari Ibrahim, untuk
dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebanyak 23 badan bukan kerajaan turut menyokong memorandum yang
diserahkan selepas perasmian persidangan perwakilan bahagian itu.
Antara lain, memorandum itu menyatakan warga Shah Alam khususnya,
telah lama terbeban dengan kadar tol sebanyak RM1.10 sehala di Plaza Tol
Batu Tiga menuju ke Kuala Lumpur dan RM1 di Plaza Tol Sungai Rasau
untuk ke Klang.
“Kebanyakan pengguna adalah warga Shah Alam yang bertugas sama ada di
Petaling Jaya ataupun Kuala Lumpur, yang setiap hari perlu membayar
RM2.10 untuk perjalanan pergi balik,” kata memorandum itu yang dibuat
hasil daripada usul semua UMNO cawangan di Shah Alam pada mesyuarat
mereka sebelum ini.
Bagi pengguna dari Klang ke Kuala Lumpur, mereka harus membayar di
kedua-dua Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu 3 berjumlah RM4.20 bagi
perjalanan pergi balik.
Selain itu kata memorandum tersebut, kedua-dua tol terbabit telah
beroperasi lebih 20 tahun dan sudah pasti pemilik konsesi sudah dapat
mengutip balik pelaburan mereka.