KUALA LUMPUR, 1 Jun – Penganalisis politik tempatan, Profesor
Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan menyifatkan Dap adalah parti
politik yang sanggup mempergunakan apa sahaja cara khususnya memecahkan
perpaduan melalui perselisihan kaum yang selama ini disemai oleh
kerajaan asal saja mereka mendapat kuasa.
Katanya, strategi terbaru Dap yang mahu mempergunakan orang Melayu
sebagai calon dalam mewakili parti mereka adalah menunjukkan bagaimana
sifat parti terbabit yang mahu mewujudkan permusuhan lantas memastikan
perpecahan dari dalam bangsa itu sendiri seterusnya dipergunakan sebagai
batu loncatan oleh mereka.
“Dap ini akan membuat apa saja cara atas tujuan untuk mengurangkan
kuasa orang Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan
mempergunakan orang Melayu itu sendiri sedangkan dalam masa yang sama
mereka menyalakan api perkauman kepada kaum-kaum lain di negara ini
untuk saling membenci,” katanya.
Terang beliau, percaturan Dap dalam politik sangat licik iaitu mereka
membuat tuduhan secara terbuka kononnya UMNO adalah parti yang rasis
dan para pemimpinnya termasuklah Perdana Menteri dan menteri-menteri
lain sebagai individu yang pentingkan bangsa Melayu semata-mata.
“Mereka (Dap) mahu menanamkan sikap kebencian bangsa lain terhadap
UMNO dan secara perlahan-lahan akan menghakis kepercayaan orang Melayu
kepada parti yang selama ini berjuang demi kebangsaan Melayu, agama
Islam dan kedaulatan tanah air,” katanya.
Jelasnya yang juga pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya, Dap sejak dari dahulu lagi mahu melaksanakan konsenp keadilan
berdasarkan kesamarataan yang berpaksikan ‘Malaysian Malaysia’ sedangkan
apa yang diperjuangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam
kerajaan adalah kesaksamaan berlandaskan apa yang termaktub dalam
Perlembagaan Malaysia.
“Fikirkanlah, kerana itu pembangkang yang didominasi oleh Dap
terus-terusan mencabar hal-hal berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi selain mempersendakan
kedudukan Raja-raja Melayu. Ini adalah kerana mereka mahukan orang
Melayu sendiri turut bersuara dan mempertikaikan apa yang termaktub
dalam hak keistimewaan orang Melayu.
“Dap meracun rakyat dengan tujuan meningkatkan rasa kebencian kepada
pemerintah dan terus mempertahankan bangsa lain dengan pelbagai
spekulasi dan provokasi kononnya UMNO rasis dan kerajaan tidak berlaku
adil dalam pelbagai hal.”
Tambahnya, dengan elemen-elemen kebencian tersebut, Dap mengundang
pertelingkahan termasuklah perselisihan kaum dan mereka akan terus
memperjuangkan sosio-demokrat yang telah dibawa sejak dari awal
perjuangan mereka.
“Sebenarnya parti yang benar-benar rasis ialah Dap tetapi mereka
berjaya membawakan watak dengan menutup wajah sebenar mereka dan
strategi untuk meletakkan calon Melayu adalah antara salah satu
perancangan untuk memperlihatkan kononnya mereka bukan parti berteraskan
satu kaum sahaja,” katanya.
Ujarnya, apa yang pasti ia dilakukan kerana ingin memperluaskan
kekuasaan mereka kepada kaum lain apatah lagi mereka sedar bahawa
kebanyakan negeri-negeri tidak membenarkan bangsa lain menjadi Menteri
Besar sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang tubuh negeri.
“Dap telah membuat perkiraan dan memperalatkan bangsa Melayu selain
mahu menimbulkan huru-hara berteraskan kaum di negara ini untuk
mendapatkan kuasa pada PRU-ke13.” – MediaUMNO