PUTRAJAYA, 1 Jun – Setiausaha Agung UMNO,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru ahli-ahli UMNO di semua
peringkat untuk terus mempertahankan UMNO dengan memahami prinsip
perjuangannya berteraskan Perlembagaan parti selain mengetahui latar
belakang penubuhan parti.
Katanya, dengan memahami aspirasi sebenar parti melalui penubuhannya
yang dilakukan oleh para pejuang terdahulu tentunya masyarakat hari ini
akan menghargai dan terus mempertahankan kewujudannya.
“Bayangkan jika semua persatuan orang Melayu tidak bersatu pada tahun
1946 tetapi nenek moyang kita sanggup berjuang demi memikirkan masa
depan anak bangsa Melayu tidak tergugat. Walaupun kebelakangan ini
banyak pihak yang berkata UMNO sudah tidak relevan tapi percayalah UMNO
tetapi ‘Dulu, Kini, Selamanya’ akan tetap pastikan hak orang Melayu di
bumi Malaysia ini tidak diganggu gugat,” katanya.
Beliau yang juga ketua bahagian Putrajaya berkata demikian dalam
ucapan perasmian bahagiannya di Dewan Seroja, Presint 15, malam tadi.
Ujarnya, barangkali orang Melayu hari ini lupa bahawa perpaduan dalam
bangsa Melayu amat penting dalam memastikan kesinambungan bangsa dan
kesejahteraan masyarakat.
“Bangsa Melayu terpecah kepada UMNO-PKR-Pas manakala dalam UMNO juga
pecah, dalam Pas dan PKR juga pecah maka dengan perpecahan ini maka
tentunya golongan minoriti akan mengambil tempat dan sekiranya mereka
berkuasa maka mereka boleh pinda Perlembagaan sebagaimana yang telah
berlaku di beberapa Negara lain.
“Mungkin kita boleh lakukan rusuhan atau berdepan dengan tragedy
sebagaimana peristiwa 13 Mei 1969 tetapi sekiranya ia berlaku lagi maka
kita akan ketinggalan 50 tahun kebelakang dan apa yang dicapai hari ini
akan lebur sama sekali,” tegasnya.
Terang beliau lagi, untuk menyokong mana-mana parti rakyat perlulah
tahu bagaimana kewujudannya agar tidak terpesong kea rah yang
bertentangan.
“Pas ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan kemudiannya mereka
peralatkan agama untuk kuasa dan lebih teruk lagi pesongkan akidah umat
Islam hinggakan keluar pelbagai fatwa, undi Pas dapat syurga, boleh
berkawan dengan syaitan dan macam-macam.
“Yang paling ketara sekali ada Dap yang mulai cari calon Melayu untuk
mewakili parti mereka sedangkan sejarah bagaimana Dap ditubuhkan adalah
serpihak dari Pap apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia.”
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengingatkan bagaimana
keputusan Pilihan Raya Umum 2008 yang menyebabkan Barisan Nasional
gagal memperoleh dua pertiga undi hingga mengakibatkan pelbagai masalah
berlaku dalam masyarakat hari ini.
“Banyak masalah yang tidak pernah berlaku pada masa lalu muncul.
Lihatlah bagaimana di Selangor dan negeri-negeri pembangkang kerana
kalau mereka yang berkuasa, jangan harap mereka akan beri orang UMNO
atau BN buat mesyuarat dalam Dewan Kerajaan sebaliknya BN tidak menyekat
apa-apa aktiviti mereka kerana faham bahawa mereka juga rakyat
Malaysia,” katanya.
Selaras dengan itu beliau menggesa semua perwakilan dan ahli-ahli
UMNO untuk membuang sifat hasad dengki, iri hati dan angkuh yang hanya
akan merugikan UMNO dan orang Melayu sahaja.
“Pucuk pimpinan minta kita ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ jadi
janganlah kita menjadi gunting dalam lipatan, jangan kita menjadi dalang
dan menceritakan kepada orang luar apa yang ada dalam parti. Jika tak
suka pada kerajaan maka berentilah saja kerja dengan kerajaan,” tegasnya
lagi.
Seramai 172 orang perwakilan menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian
tersebut yang telah dihadiri oleh 29 orang ahli jawatankuasa Bahagian
selain lapan orang perwakilan dari Pergerakan Wanita, lapan orang dari
perwakilan Pergerakan Pemuda dan sembilan orang dari perwakilan
Pergerakan Puteri. – MediaUMNO