KEMAMAN, 30 Mei – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Terengganu,
Asfalinda Anuar berkata, dengan gerak kerja yang diatur bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dia yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN)
mampu mempertahankan negeri Terengganu dari jatuh ke tangan pembangkang.
Katanya, Puteri di negeri itu kini sedang menggempur ke semua 32
Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengesan setiap masalah rakyat dan
menyakinkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang mampu membela nasib
rakyat.
“Kita atur gerak kerja mengikut peti undi. Dengan bantuan Ketua-ketua
Bahagian setiap kawasan, kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar
umbi. Kita mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan
apa yang termampu.
“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi
memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya
sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya.
Jelasnya lagi yang merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, di
kawasan terbabit sendiri telah mencatat 5,655 orang pengundi baru yang
telah berjaya didaftarkan. Dengan jumlah yang besar ini, jelas
menunjukkan rakyat terutamanya golongan muda yakin bahawa UMNO adalah
parti yang sentiasa mendahulukan rakyat.
“Semasa PRU yang lalu, kita kehilangan 1 kerusi Parlimen dan 8
kerusi DUN. Hasil daripada bacaan sikap yang telah dibuat, saya yakin
kita mampu merampas kembali sekurang-kurangnya 4 kerusi DUN. Sehingga
kini, kita masih berusaha mendekati rakyat dan dengan pelahan-lahan kita
cuba tarik mereka untuk menyokong kita. Rakyat sedar bahawa UMNO
sentiasa membela nasib rakyat tetapi mereka keliru dengan dakyah
disebarkan pembangkang.
“Pembangkang sering menabur fitnah terhadap UMNO dan ini membuatkan
rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan
sebenar. Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang
sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib
rakyat tidak akan dibela.
“Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat
semakin sedang. Masalah rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Selaku
sayap, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan UMNO dan BN
sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apapun yang pembangkang fitnah,
kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang
terbaik,” ujarnya.-MediaUMNO