KUALA LUMPUR, 25 Mei – Bangsa Melayu bukan alat permainan dalam
politik sehinggakan boleh diperkotak-katikkan sesuka hati termasuklah
untuk memancing undi dan mendapatkan kuasa dari tangan rakyat, kata
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, tindakan DAP yang merancang untuk meletakkan calon-calon
Melayu mewakili parti mereka pada pilihan raya umum akan datang
menunjukkan kedangkalan mereka dalam menilai kedudukan masyarakat hari
ini.

“Siapa DAP yang mahu memperbodohkan orang Melayu sewenang-wenangnya
sedangkan secara realitinya rakyat tahu dan sedar bahawa DAP hanyalah
topeng yang melakonkan sandiwara untuk mendapatkan kuasa secara total,”
katanya kepada UMNO-Online.
Terang beliau, apa yang direncanakan oleh DAP menjadi bukti bagaimana
penilaian mereka kepada orang-orang Melayu yang dianggap sebagai batu
loncatan mereka untuk meraih kedudukan dan mendapatkan kuasa
semata-mata.
“Inilah DAP yang tidak tahu menghargai apatah lagi untuk menghormati
kebersamaan dan peranan yang dimainkan oleh semua kaum di negara ini
malahan sebaliknya mereka berbuat baik dengan orang-orang Melayu kerana
ada agenda tersembunyi.
“DAP ini parti yang tidak ada hala tuju dan mereka akan gunakan apa
sahaja cara asalkan dapat mencapai matlamat mereka untuk mendapatkan
kuasa.”
Jelasnya lagi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), DAP
setuju untuk bersekongkol dalam pakatan pembangkang bersama-sama Pas dan
PKR sebelum ini kerana mereka mahu mempergunakan dua parti tersebut
sebagai alat bagi mendapatkan kuasa juga.
“Lihatlah sendiri bagaimana tindakan DAP yang mengaut untung daripada
perseteruan tersebut sedangkan Pas semakin tenggelam dan PKR pula
kucar-kacir. DAP mengukuhkan kuasa tanpa melihat keseimbangan dalam
pakatan itu sendiri dan akhirnya tidak hairan jika mereka sendiri yang
akan ‘membunuh’ PKR dan memusnahkan Pas,” katanya.
Tegas beliau secara logiknya, DAP tidak akan mengiktiraf orang Melayu
sebagaimana idealogi mereka yang mahukan Malaysian Malaysia lantas mana
mungkin untuk meletakkan orang Melayu di tempat yang tinggi kecuali
mereka ada agenda tersembunyi seperti yang telah terbongkar sekarang.
Katanya lagi, DAP mahukan orang Melayu hanya menjadi ‘pak turut’ yang
boleh dicucuk hidung, suruh angguk-angguk dan suruh geleng-geleng
sebagaimana yang telah berlaku dalam Kerajaan Perak semasa ditangan
pembangkang dan juga di Selangor.
“Lihatlah bagaimana DAP yang tidak pernah menyuarakan sesuatu yang
boleh membantu masyarakat kerana mereka tidak mahu rakyat berada dalam
keadaan tenteram sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana
mereka mahukan kekacauan dan kemudiannya mengguk di air keruh untuk
mendapat kuasa,” katanya.
Bidasnya lagi, memang telah nyata bahawa dari awal lagi, DAP sering
sahaja menafikan kebenaran dan hakikat yang dihadapi dengan memperlekeh
orang lain khususnya bangsa Melayu sebagaimana tindakan mereka
mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan menganggap bahawa
mereka sahaja yang benar.
Katanya, rakyat perlu sedar dan menilai sendiri bagaimana tingkah DAP
yang telah menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat biarpun
mereka terpaksa meniru langkah BN dan UMNO sendiri.
“Tujuan DAP adalah untuk menimbulkan kekeliruan pada rakyat,
menjadikan rakyat khususnya masyarakat kita yang pelbagai bangsa rasa
tercabar dan marah, berlaku prasangka antara kaum dan seterusnya
keamanan negara tidak terjamin tetapi ia gagal jadi mereka terpaksa
merencanakan alternatif lain iaitu dengan menjadikan orang Melayu pula
calon dalam parti mereka.
“Yang sedia ada pun runtuh dan yang bukan-bukan pula direncananya
sedangkan untuk menjadikan sebuah negara maju seperti hari ini bukanlah
dengan sekelip mata sebagaimana yang cuba dijampi pakatan campuran.”
Katanya janganlah biarkan tingkah sumbang pembangkang yang ibaratnya tikus membaiki labu melata tumbuh mengaburi rakyat. – MediaUMNO