GUA MUSANG, 25 Mei – Pembangunan infrastruktur kerajaan pusat seperti
jalan raya telah meningkatkan pelaburan dan nilai tanah di kawasan
pedalaman Hulu Kelantan iaitu Gua Musang dengan kenaikan hartanah
sebanyak 10 kali ganda.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata nilai tanah
sekitar bandar ini melambung lebih 10 kali ganda daripada nilai tahun
80-an dulu berikutan menjadi rebutan pelbagai pihak untuk dijadikan
pusat pelaburan jangka panjang.

“Sebagai contoh harga satu unit kedai yang
dahulunya hanya RM50,000, tetapi sekarang meningkat kepada lebih
RM300,000 seunit,” katanya pada Majlis Perjumpaan Dengan Peserta Program
Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera di Chin Teck,
dekat sini, hari ini.
Berikutan itu, beliau menasihati penduduk agar tidak menjual hartanah
mereka walaupun ada menerima tawaran kerana mereka akan rugi jika
berbuat demikian kerana beliau menjangkakan nilai tanah di kawasan
berkenaan akan meningkat.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata
sejak kebelakangan ini juga semakin banyak permintaan orang luar untuk
membeli tanah-tanah di sekitar Gua Musang sama ada untuk gudang
perniagaan atau pembukaan ladang.
Sejajar dengan Dasar Keberhasilan Negara (NKRA) dalam meningkatkan
taraf hidup rakyat dan memajukan kawasan pedalaman, Kerajaan Barisan
Nasional (BN )telah melaksanakan pembinaan jalan raya menghubungkan
Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai-Kota Baharu bawah pelan Pembangunan
Ekonomi Wilayah PantaiTimur (ECER).
Kerajaan pusat juga melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin
(PPRT) sebanyak 1,500 unit membabitkan kos pembinaan hampir RM200 juta
di Gua Musang yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun lagi.
Beliau mengakui dahulu tidak ada siapa yang berminat untuk membuka
pelaburan di daerah ini, tetapi selepas kerajaan membina rangkaian jalan
dengan kedudukan bandar Gua Musang yang terletak di tengah-tengah
Semenanjung Malaysia menjadikan ia lokasi strategik.
“Perkara itu ditambah pula dengan pembukaan jalan baru menghubungkan
GuaMusang-Jeli, Gua Musang-Cameron Highland, Perak dan Gua Musang-Kuala
Berang di Terengganu menambahkan minat orang ramai datang ke Gua
Musang,” katanya.
Katanya rumah untuk penempatan penduduk miskin itu juga mempunyai
nilai tinggi walaupun kerajaan memberi secara percuma kepada mereka.
“Kita harap penduduk terbabit jangan mengambil kesempatan menjual
rumah terbabit dan hargailah sumbangan kerajaan itu untuk terus
dimanfaatkan sehinggake anak cucu,” katanya.