KUALA LUMPUR, 23 Mei – Timbalan Pengerusi Kelab
Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC),
Datuk Bung Mokhtar Radin hari ini menyarankan Ketua Pembangkang yang
juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan
contoh pemimpin kanan parti pembangkang Turki yang meletakkan jawatan
ekoran skandal video peras ugut dan seks.
Menurut beliau itulah pemimpin yang sebenarnya bertanggungjawab dan
tahu apa tindakan yang sepatutnya dilakukan dan bukannya berdolak dalih
serta cuba bermain sentimen emosi untuk mengelirukan rakyat .
“Bukankah Anwar sebelum ini sudah pun diarahkan mahkamah untuk
membela diri berhubung tuduhan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan dan
terbaru dakwaan skandal video seks yang heboh diperkatakan umum.
“Anwar patut malu pada diri sendiri dan dunia kerana beliau sebelum
ini dianggap oleh para penyokongnya seorang pemimpin hebat dan pemimpin
yang ada karisma dan sebagainya”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Tegas beliau Anwar sepatutnya sudah meletakkan jawatan sejak daripada
dulu lagi dan biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan serahkan
kepada Mahkamah menentukan keputusan.
“Itu baru betul pemimpin yang berkarisma dan bertanggungjawab. Ini
lain pula tingkah lakunya. Siang malam menjaja fitnah dan membuat
pelbagai tuduhan kononnya skandal ke atas beliau merupakan konspirasi.
“Apa yang dilakukan Anwar setakat ini hanya penafian semata-mata.
Malah Anwar juga gagal menjawab pelbagai persoalan penting seperti jam
Omega, bersumpah laknat dan menyaman individu yang mendedahkan rakaman
video seks tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah enam pemimpin kanan
parti pembangkang Turki, Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), yang
meletakkan jawatan semalam ekoran skandal video peras ugut dan seks.
Media Turki melaporkan, pemimpin kanan pembangkang itu dipaparkan
dalam keadaan memalukan dalam rakaman video lucah itu, yang disiarkan
melalui Internet.
Awal bulan ini empat yang lain yang juga merupakan pemimpin kanan
parti itu telah meletakkan jawatan ekoran rakaman video hampir sama
iaitu beberapa orang daripada mereka dipaparkan sedang mengadakan
hubungan seks, dipercayai di sebuah rumah yang digunakan oleh anggota
parti untuk mengadakan hubungan sulit.
Sebelum itu, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF),
Dominique Strauss-Kahn, 62, berundur selepas ditahan polis berhubung
serangan seksual ke atas seorang pengemas bilik di New York.
Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan seterusnya berkata
Anwar mungkin tidak berani untuk berbuat demikian sepertimana yang telah
dilakukan oleh pemimpin kanan parti pembangkang di Turki dan Pengarah
Urusan IMF.
“Pelbagai cabaran yang telah dibuat oleh pelbagai pihak sebelum ini
pun dipandang sepi, inikan pula melibatkan jawatan dalam parti
pembangkang. Cuma saya berharap agar penyokong mereka membuka mata dan
melihat bagaimana pemimpin berkarisma yang sebenar.
“Jika Anwar berkarisma sepertimana yang didendangkan oleh
juak-juaknya, Ketua Umum PKR itu akan mengambil tindakan yang sama
sepertimana oleh pemimpin kanan parti pembangkang Turki itu. Ini tida
menyalahkan orang lain dan konspirasi..Tidak habis-habis dengan
konspirasi,” katanya. -MediaUMNO