PETALING JAYA, 17 Mei – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin hari ini meminta pimpinan UMNO di semua peringkat supaya segera
menyelesaikan sebarang masalah dalaman sebagai persediaan menghadapi
pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata sepanjang tempoh mengadakan
lawatan serta pemantauan di beberapa bahagian UMNO baru-baru ini, beliau
mendapati masih ada bahagian, cawangan atau sayap yang dibelenggu
masalah dalaman.

“Saya mengakui sudah ada angin perubahan
dari segi sokongan rakyat kepada kita, tetapi pada masa yang sama ada
sebahagian lagi bahagian UMNO yang masih dalam keadaan sama (menghadapi
masalah dalaman dan tidak berubah).
“Kita harus sedar, selepas ini kita akan berhadapan pilihan raya
umum. Memang Perdana Menteri belum memberi isyarat dan tidak membisik
apa-apa kepada saya, tapi ingat pilihan raya mungkin boleh diadakan
esok, mungkin beberapa bulan lagi dan mungkin juga sebelum 2013,”
katanya ketika berucap merasmi persidangan perwakilan UMNO Bahagian
Petaling Jaya Utara (PJU) di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata meskipun angin perubahan telah dirasai di seluruh
negara, tetapi ia belum cukup kuat dan memerlukan usaha yang lebih gigih
untuk memastikan kedudukan Barisan Nasional (BN) lebih kukuh dan terus
menerajui kerajaan.
Menurutnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib
Tun Razak telah memperkenalkan pendekatan yang luar biasa iaitu
transformasi kerajaan di mana kerajaan melihat apa yang dikehendaki oleh
masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya proses transformasi kerajaan harus dilakukan secara berkesan agar ia boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat jelata.
“Hasil program transformasi ini juga telah menampakkan hasil yang
kini sudah mulai dirasai oleh rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengingatkan setiap parti komponen BN
supaya bekerja keras untuk menebus kekalahan di kerusi yang sebelum ini
menjadi milik parti itu tanpa mengira calon dari parti komponen yang
bertanding.
Beliau berkata BN telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa sejak
dulu lagi dan atas dasar itu, kerjasama antara parti komponen perlu
diperkukuhkan semula untuk merampas kembali kawasan yang telah diduduki
pembangkang.
“Umpamanya, kerusi PJU ini milik MCA. Sebagai rakan dalam BN, UMNO
akan bekerja keras untuk membantu MCA merampas kerusi ini daripada DAP.
“Begitu juga dengan kerusi yang dimiliki UMNO atau mana-mana parti,
semua parti komponen akan membantu untuk memenangkan calon yang
bertanding. Ini adalah formula yang telah lama diamalkan oleh BN,”
katanya.