PONTIAN, 15 Mei – Pemuda UMNO tidak harus lagi hanya menjadi kumpulan
pendesak politik, sebaliknya menjadi penyedia penyelesaian kepada
masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini, kata ketuanya Khairy
Jamaluddin.
Ini, menurut beliau, adalah sebagai terjemahan pergerakan itu
terhadap transformasi politik yang dilaksanakan oleh Presiden UMNO Datuk
Seri Najib Tun Razak.
“Tidak cukup bagi Pemuda untuk menjadi kumpulan pendesak sahaja
tetapi akan turut menjadi penyedia penyelesaian untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini,” katanya semasa
merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO bahagian Pontian di sini
semalam.
Langkah tersebut, kata Khairy dapat membawa kembali golongan muda
yang saban hari semakin menjauhi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Anggota Parlimen Rembau itu berkata antara masalah yang dihadapi oleh
golongan muda ialah kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan juga gaji
minimum yang rendah.
Beliau turut mengingatkan anggota pergerakan itu bahawa BN kini sudah
tiada lagi simpanan tetap bagi meletakkan gagasan itu di tempat yang
selesa untuk menubuhkan kerajaan.
Khairy berkata mereka juga harus memantapkan lagi perjuangan dalam
memperkukuhkan parti dengan menarik sokongan ramai golongan muda kepada
Umno dan BN.
Beliau berkata anggota pergerakan itu harus menolak kepentingan diri dan bekerja keras meningkatkan perpaduan dalam parti.