PEKAN, 14 Mei – Ahli Pemuda UMNO diingatkan agar tidak terpengaruh
dengan dakyah disebarkan pembangkang yang memburukkan nama baik pemimpin
negara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata anggota Pemuda
perlu mengkaji terlebih dahulu dan menilai secara bijak setiap dakwaan
pembangkang yang menabur fitnah semata-mata untuk mencalar nama baik
pemimpin negara.
“Negara akan pincang sekiranya anggota Pemuda UMNO terlalu mudah
terpengaruh dengan cerita tidak benar yang disebarkan pihak tidak
bertanggungjawab bagi meraih sokongan rakyat,” katanya ketika berucap
merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di sini, hari
ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhamad dan Ketua Pemuda Umno Pekan Mohammad Jefree Wahab.
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri berkata Pemuda UMNO Pekan seharusnya berbangga dan merasa
bertuah kerana dapat berdiri di belakang Ketua UMNO Bahagian Pekan yang
juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memiliki pengalaman
luas dalam bidang politik.
Beliau berkata dalam tempoh singkat, Perdana Menteri telah berjaya
melakukan pelbagai perubahan dan kemajuan yang diperlukan rakyat di
setiap peringkat.