KUALA LUMPUR, 11 Mei – Profesor Datuk Dr. Syed Muhammad Naquib
Al-Attas yang dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Hari
UMNO ke-65 melihat UMNO sebagai sebuah parti yang sangat bermakna dan
perlu terus diperturunkan kepada generasi akan datang untuk
kesinambungan masa hadapan.
Katanya, perjuangan UMNO hari ini jika dibandingkan dengan dahulu
terlalu banyak perubahan-perubahan yang berlaku bukan sahaja kepada
orang Melayu dan Islam tetapi ia juga turut memberi pengaruh kepada
perkembangan semasa dari dalam dan luar.

“Dalam perjuangan UMNO ini, alhamdulillah
saya lihat sudah mulai ada keinsafan bahawa soal adab itu penting kerana
adab itu ilmu yang bukan dipelajari di Universiti tetapi harus diturun
temurunkan untuk mereka terus faham maksud perjuangannya.”
Syed Naquib yang dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Jawa
Barat adalah tokoh yang merialisasikan berkibarnya bendera UMNO ‘Sang
Saka Bangsa’ apabila Presiden UMNO pertama, Datuk Onn meminta ilham
daripada beliau untuk menciptanya.
“Pada tahun 1945-46, Datuk Onn mengatakan kepada saya cuba reka
berkenaan bendera, walaupun umur saya ketika itu baru dalam 14 tahun.”
Jelasnya, berdasarkan pengalaman beliau dalam revolusi yang berlaku
di Indonesia dan juga tema yang perlu ada dalam bendera tersebut maka
beliau mencipta ‘Sang Saka Bangsa’ sebagaimana yang ada hari ini.
“Soal merah putih dalam bendera UMNO ini tentu sekali terpengaruh
kepada pengalaman Revolusi Indonesia. Kemudian Datuk Onn mengatakan
dalam bendera ini harus ada fahaman kesetiaan, keberanian, mengenai
kewibaan Sultan dan Islam serta kekuatan orang Melayu. Ini yang
dimahukannya.
“Setelah saya fikir-fikir maka pada merah putih itu di tengah-tengah
saya letakkan satu warna kuning untuk menandakan kewibawaan para Raja,
mengenai keris saya berikan warna hijau sebagai agama Islam dan keris
adalah simbol yang paling digunakan oleh orang Melayu sebagai kekuatan.
Jadi kerana itu sudah ada idea-idea itu semua yang digabungkan dalam
satu bendera.”
Beliau yang mendapat pendidikan dalam bidang keagamaan, kebudayaan,
sastera, bahasa dan banyak menyumbang kepada penghasilan karya-karya
besar telah menyuntik semangat nasionalisme dan falsafah dalam tradisi
masyarakat Melayu.
“Berkenaan dengan relevan dalam perjuangan UMNO maka ia tetap relevan
bukan hanya sekarang tetapi di masa-masa lain pun apa lagi kalau
sekiranya sudah banyak perubahan untuk membuat pembetulan dalam
kesilapan-kesilapan lampau. Ini bermakna ia akan terus relevan apatah
lagi sekarang kerana banyak fahaman-fahaman intelektual yang didatangkan
kepada pemuda-pemuda kita.
“Menuntut ilmu itu penting walaupun kita harus tuntut ilmu kemajuan
seperti sains dan teknologi tetapi ia harus dilandaskan atas dasar
tradisional kita sendiri terutamanya soal-soal adab, soal akhlak. Bukan
saja semata-mata satu dua perkara, yang disebut integriti tapi tidak ada
diberi makna apa yang harus dilakukan bagi mendatangkan integriti itu.”
Jelasnya lagi, semua perkara harus diberi pemahaman berkaitan agama
dengan betul apatah lagi perjuangan UMNO hari ini bukan seperti dahulu
untuk kemerdekaan atau keluar dari kemiskinan tetapi hari ini jauh lebih
luas lagi hingga ke duani luar.
“Saya fikir bahawa tugas seperti ini UMNO terus akan menjadi terus
relevan iaitu kita harus dengar dan perhatikan kata-hikmat daripada
orang yang mempunyai ilmu tentang hal-hal macam ini dan lebih dari itu
kita perlu praktikannya. Kalau kita tidak mahu dengar ini semua maka
akan timbul banyak masalah.”
Tegasnya, UMNO harus sedar dan menggunakan ilmu dengan mendengar dan
belajar daripada orang yang benar-benar tulen ilmunya dan bukan yang
hendakkan pangkat atau yang mahukan cita-cita sahaja.
“Pemimpin mesti belajar dengan orang yang ikhlas dengan dirinya
sendiri yang ilmunya itu ditujukan untuk bangsanya, kebaikan bangsanya
dan dengan ikhlas ikhlas juga melakukannya. Saya fikir ini yang kita
hadapi selain cabaran-cabaran daripada intelek barat dalam melihat
ketamadunan kita,” ujarnya.
Beliau yang merupakan ahli falsafah dan ketamadunan Islam telah
menulis lebih 20 buku dan monograf, baik dalam bahasa Inggeris, Melayu
dan banyak selain diterjemahkan ke dalam bahasa lain, seperti bahasa
Arab, Persia, Turki, Urdu, Malayalam, Indonesia, Perancis, Jerman,
Rusia, Jepun, India, Korea, dan Albania.
Ketokohan beliau meliputi pelbagai bidang termasuk bertanggungjawab
merancang dan merekabentuk bangunan kampus Institut Pemikiran Islam dan
Ketamadunan Antarabangsa (INSTAC).
Syed Naquib adalah penerima ketujuh sejak anugerah Tokoh Melayu
terbilang diwujudkan pada tahun 2005 dengan dimulakan kepada Profesor
Diraja Ungku Abdul Aziz, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir (2006), Datuk
Ibrahim Hussein (2007), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (2008), Tan Sri Syed
Mokhtar Al-Bukhary (2009) dan Tan Sri Zainuddin Maidin (2010). –
MediaUMNO