
Khairul (kiri) menyampaikan kelengkapan sukan kepada pemuda di Lawang.
JELI,10 MEI 2011 - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli merancang menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Parlimen Jeli Jun ini.
Program dijangka akan bermula pada 3 Jun ini menawarkan hadiah lumayan kepada pasukan yang berjaya layak ke peringkat akhir kejohanan nanti dan penyertaan ini terbuka untuk parlimen Jeli.
Ketuanya, Khairul Ikhwaniza Mohd Zahari berkata,pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan agensi dan jabatan di parlimen Jeli dan penganjuran buat julung-julung kalinya di parlimen ini.
Menurutnya, objektif utama perlaksanaan ini antara lain memupuk gaya hidup sihat dikalangan anak-anak muda selain mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan ini.
"Pembangunan sukan di peringkat daerah ini sangat penting kerana kita bukan sahaja boleh memanfaatkannya untuk melahirkan bakat-bakat muda yang berpotensi bahkan ianya menjadi ruang untuk gilap dan latih mereka untuk berjaya dalam sukan ini.
"Jadi, saya percaya kejohanan ini nanti akan lebih meriah dengan penyertaan agensi dan jabatan dan paling penting kita dapat pupuk kerjasama di kalangan pemain kerana sukan ini merupakan platform perpaduan,"katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian kelengkapan sukan kepada pemuda dan perjumpaan dengan ketua-ketua pemuda dalam peti undi Lawang.
Hadir sama ke majlis ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Hassan Awang dan ahli jawatankuasa pemuda.