Dato' Dr.Azmi menyerahkan plak kepada Guru Besar SK Sungai Rual, Baharuddin.
SUNGAI RUAL,8 mei 2011 - Masyarakat orang asli diminta memperbaik diri dan disarankan mengambil peluang yang disediakan kerajaan.
Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Dr. Azmi Setapa berkata, masyarakat orang asli perlu lebih berdaya saing dan bijak menggunakan peluang dan perhatian yang diberikan untuk mengubah corak hidup.
“Kalau boleh kita mahu jadikan perkampungan orang asli di sini sama seperti kampung komuniti lain di luar sana dalam segi kehidupan yang lebih sempurna dan membangun.
“Oleh itu, ibu bapa perlu menitikberatkan soal pendidikan anak untuk mereka berjaya dan mampu berdaya saing setanding dengan masyarakat bandar,” katanya pada majlis perasmian program sejiwa masyarakat orang asli peringkat kebangsaan bertempat di Sekolah kebangsaan (SK) Sungai Rual.
Menurutnya, sejiwa masyarakat orang asli adalah platform untuk menyebarkan maklumat dan informasi kepada mereka tentang isu-isu semasa.
“Kita tidak mahu masyarakat orang asli ketinggalan malah mahu mereka sama –sama membangun dan maju selaras dengan masyarakat bandar.
“ Aktiviti sedemikian amat baik dalam mendekatkan diri dengan masyarakat orang asli agar mereka tidak rasa terpinggir tetapi menjadi keutamaan pemimpin dengan menyediakan kemudahan dan kesenangan,” katanya.
Beliau berkata, program sejiwa itu juga bertujuan untuk mendedahkan masyarakat orang asli tentang 1Malaysia.
“Kita mahu generasi maju, jadi pengertian 1Malaysia perlu disebarkan secara menyeluruh dan tidak ketinggalan juga masyarakat orang asli. Agensi terlibat juga perlu memainkan peranan dengan memberikan maklumat yang sewajarnya kepada mereka.
“Masyarakat orang asli perlku mengambil peluang itu untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi terlibat yang mengadakan pameran,” katanya.