GOMBAK 17 Julai 07 - Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bakal melakar sejarah baru membuka kampus cawangan di luar negara sebagai strategi mempertingkat enrolmen pelajar antarabangsa pada masa depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed berkata usaha itu perlu dan sudah ada IPTA yang mengemukakan permintaan berkenaan.
Tanpa menyatakan IPTA terbabit, beliau bagaimanapun menegaskan pelaksanaan itu harus mengambil kira beberapa isu berkaitan terlebih dahulu, antaranya aspek kewangan dan kualiti.
"Bagi IPT swasta (IPTS), memang tidak ada masalah. Setakat ini, terdapat beberapa IPTA sudah menawarkan program mereka di luar negara tetapi belum ada yang membuka kampus cawangan disana.
"Kita perlu memastikannya sudah mantap di dalam negara dulu. Begitupun bukan semua IPTA boleh pergi, sebaliknya universiti yang lebih kukuh.
"Namun untuk melangkah ke hadapan, kita kena. Apa yang saya katakan ini (pembukaan kampus cawangan IPTA di luar negara) akan berlaku suatu hari nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pelajar Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, semalam.
Hadir sama Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Syed Arabi Idid dan Pengarah Bahagian Pelajar Antarabangsa UIAM, Prof Madya Dr Yusoff Mohamad.
Seminar julung kali bertema 'Ke Arah Pengurusan Efektif Pelajar Antarabangsa di Malaysia' itu adalah anjuran bahagian terbabit bersama Kementerian Pengajian Tinggi.
Seterusnya Dato' Mustapa berkata, beliau sudah menyediakan laporan mengenai pelbagai isu, terutama berkaitan urusan imigresen yang perlu ditangani, hasil perjumpaan dengan 140 pelajar Arab Saudi yang melanjutkan pelajaran ke Malaysia atas tajaan Raja Abdullah, Selasa lau.
Sambil menegaskan beliau sudah pun mengadakan perjumpaan dengan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Rabu lalu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan susulan bagi membincangkan laporan itu, minggu ini.
" Saya berharap hasil laporan ini akan membawa kepada beberapa perubahan. Misalnya bagi pelajar perempuan Arab Saudi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama, mereka perlu ditemani mahram.
" Kita perlu menghormati adat resam mereka itu. Namun, ketika ini, visa sedemikian hanya diberikan kepada pelajar pascasiswazah. Selain itu, saya juga akan membawa isu kad identiti imigresen (i-KAD) pelajar antarabangsa untuk dibincangkan.
" Saya sudah mengadakan beberapa kali perjumpaan dengan Jabatan Imigresen dalam tempoh setahun ini.
Setahun perjumpaan itu berjaya membuahkan perubahan positif dan ada perkembagan. Suhubungan itu, saya yakin perjumpaan kali ini juga akan membawa hasil sedemikian," katanya.
Sementara itu, Dato' Mustapa Mohamed berkata, semua pihak di Malaysia berkata, semua pihak di Malaysia meliputi Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Imigresen, universiti serta masyarakat perlu membuat anjakan minda supaya tidak bertanggapan negatif terhadap keseluruhan pelajar dari negara tertentu semata-mata akibat insiden membabitkan sebilangan kecil daripada mereka.
Dalam konteks ini, beliau berkata, semua pihak perlu menggembleng tenaga menangani fenomena peningkatan bilangan kemasukan pelajar antarabangsa dan juga pensyarah dari luar negara ke universiti di Malaysia.
"Agenda menambah kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia adalah amat penting dan menjadi tanggungjawab keseluruhan rakyat Malaysia.
" Kita perlu mengambil tindakan cepat dalam menangani isu pelajar antarabangsa kerana mereka hendak belajar dan akan pergi ke pelbagai pilihan negara lain jika kita lambat memberi maklum balas, " katanya.
-Berita Harian-