SUBANG JAYA 17 Julai 07 - Kementerian Pengajian Tinggi mahu lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan termasuk memberi sumbangan dana yang boleh dimanfaatkan untuk perkembangan pelajar.
Menterinya, Dato' Mustapa Mohamed berkata pihaknya belum berpuas hati dengan hubungan serta kerjasama yang dijalinkan antara IPT dan industri kerana ia masih jarang dipraktikkan di Malaysia berbanding negara luar.
"Kementerian mahu lebih banyak syarikat tampil dan menjalin hubungan serta bekerjasama dengan IPT tempatan bukan saja dengan menyumbangkan wang, malah menyediakan peluang latihan kepada pelajar.
"Ini perlu dijadikan budaya seperti Amerika Syarikat yang banyak firmanya memberi sumbangan kewangan kepada IPT selain pendedahan kepada kedua-dua pihak melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D), " katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Universiti dan Industri antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UEM Group Bhd di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi UEM Group, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali ; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group ; Datuk Ridza Abdoh Salleh ; Pengerusi UiTM, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah.
Dato' Mustapa berkata, pada masa ini hubungan antara IPT dan industri di negara ini memang wujud, tetapi tidak begitu kukuh dan mantap.
Melalui MoU yang ditandatangani itu, UEM dan UiTM akan bekerjasama menjayakan program R&D, menyediakan tempat latihan dan bertukar kepakaran untuk manfaat kedua-dua pihak.
Sehingga ini dua inisiatif sudah dimulakan melalui MoU terbabit, iaitu sumbangan RM 1 juta oleh UEM kepada Fakulti Kejuruteraan Awam bagi bidang Pengurusan Perniagaan Pembinaan UiTM yang akan digunakan bagi melahirkan jurutera berkepakaran tinggi.
Selain itu, 60 pelajar UiTM akan diberikan peluang menjalani latihan praktikal di projek yang sedang dan akan dilaksanakan kumpulan UEM untuk memberi mereka pendedahan berkaitan industri.
Sementara itu, Dato' Mustapa memuji langkah UEM yang menjadi GLC pertama memberi sumbangan dana selain menyediakan peluang praktikal serta pendedahan kepada pelajar universiti tempatan.
"Dengan pembangunan negara yang pesat termasuk projek Koridor Utara, Wilayah Pembangunan Iskandar dan pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang, hubungan universiti dan industri yang dijalinkan mampu memberi manfaat sekaligus melahirkan graduan berwibawa," katanya.
-Berita Harian-