
Dato' Pa dan En Serpudin Mohamed(Ketua Jajahan Jeli) melakukan lawatan ke Mahkamah Majistret Jeli yang akan dirasmikan esok
JELI 04 Julai 2007 - Perasmian Mahkamah Majistret Jeli esok (Khamis 5 Julai 2007) oleh DYMM Al-Sultan Kelantan membawa makna sangat besar kepada penduduk Parlimen Jeli. Kesudian Baginda mencemar duli merasmikan bangunan mahkamah di Jeli adalah bukti keprihatinannya terhadap pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyatnya. Tuanku terkenal sebagai raja memerintah yang cukup cakna terhadap kemajuan Negeri jajahan takluknya serta kebajikan warga negeri ini.
Majlis perasmian ini juga penting dalam konteks mendaulatkan sistem perundangan yang diamalkan di Malaysia sejak negara merdeka. Ia juga selaras dengan Prinsip Ke-4 Rukun Negara yang menuntut semua rakyat memastikan keluhuran Perlembangan dan mendaulatkan undang-undang.
Sempena sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia, perasmian bangunan Mahkamah Majistret amat simbolik sekali kepada penduduk Parlimen Jeli. Pembinaan dan perasmian satu lagi mercu tanda Jajahan Jeli membuktikan kelangsungan agenda pembangunan yang dibawa oleh Ahli Parlimen YB Dato Mustapa Mohamed sejak menjadi wakil rakyat selama 2 penggal, yakni 1995-1999 dan 2004 hingga sekarang.
Kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat di majlis perasmian esok mencerminkan sokongan Kerajaan Negeri terhadap program pembangunan dan usaha meningkatkan taraf hidup penduduk Jeli yang dirancang dan dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Umno bersama agensi dan jabatan kerajaan (pusat dan negeri). Dengan terbinanya mahkamah majistret ini, maka lengkaplah pembangunan prasarana bagi Parlimen Jeli yang merangkumi lebuhraya dan jalanraya, sekolah dan pusat latihan, masjid dan musalla, kemudahan asas seperti letrik dan air, balairaya dan pusat khidmat ummah, pejabat-pejabat kerajaan, kedai dan premis perniagaan, wakaf dan tempat riadah, pasar dan bank.
Agenda pembangunan yang mantap dan tersusun adalah manifestasi kejayaan kerajaan Barisan Nasional dan Umno dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi Parlimen Jeli dan pendapatan penduduknya. Hasil dan kemudahan yang dinikmati disyukuri semua penduduk Parlimen Jeli, tanpa mengira kefahaman politik. Inilah pendekatan Tokpa membawa perubahan kepada sebuah kawasan yang pada asalnya terpencil dan tersisih daripada arus perdana pembangunan. Hari ini, Jeli adalah antara jajahan yang paling pesat membangun di Negeri Kelantan. Perubahan yang dilihat dan dirasai amat nyata.