
AIR LANAS 23 Jun 2007 - Pergerakan PUTERI UMNO Bahagian Jeli menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Piala Datin Kamarzan Ahmad Meah, isteri kepada YB Dato' Mustapa Mohamed mendapat sambutan hebat daripada Pergerakan PUTERI peringkat cawangan dalam Parlimen Jeli. Sebanyak 30 pasukan mengambil bahagian yang di bahagikan kepada 3 DUN iaitu Bukit Bunga, Ayer Lanas dan Kuala Balah.
DUN Bukit Bunga diwakili oleh 11 pasukan, DUN Ayer Lanas 10 pasukan dan DUN Kuala Balah 9 pasukan yang terlibat mewakili peti undi. Turut menyertai kejohanan tersebut ialah pasukan daripada Bakat Kem 301, Batu 11 dan Bakat Kem 302 Batu Melintang.
Kejohanan ini diadakan di Padang Awam Air Lanas pada hari ini bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Perasmian kejohanan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Tn Hj Abdul Aziz Derashid, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jeli merangkap ADUN Kuala Balah. Norwahida Patuan, Ketua Pergerakan PUTERI UMNO bahagian Jeli berterima kasih kepada semua pasukan yang terlibat di atas penyertaan yang amat memberangsangkan dan berjanji akan menganjurkan kejohanan seperti ini di masa akan datang.