KOTA BHARU 12 Jun 07 - Kira-kira 60,000 kakitangan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat seluruh Kelantan, diyakini terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Mustapa Mohamed, berkata keyakinan itu berdasarkan sumbangan mereka terhadap usaha menjayakan pelbagai projek dan program yang dilaksanakan Kerajaan Pusat di negeri ini.
Beliau berkata, semangat berkhidmat dengan lebih baik semua kakitangan itu semakin tinggi, apabila masing-masing bakal menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Kakitangan kerajaan Pusat yang merangkumi 110 agensi dan jabatan itu, masing-masing bekerja penuh komitmen tanpa mengira fahaman politik dan bersikap berkecuali ketika berdepan dengan masyarakat.
"Namun, mereka menyokong Kerajaan Pusat menerusi pelaksanaan dasar yang dirancang. Daripada 60,000 penjawat, ramai daripada mereka terdiri daripada guru yang memberi kekuatan kepada kerajaan pusat untuk pastikan semua usaha berjalan baik," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Kelantan dan Menteri Pengajian Tinggi, memberitahu demikian selepas majlis meraikan ketua jabatan agensi Persekutuan yang bersara dan bertukar di sini, malam kelmarin.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Seri Annuar Musa dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Shukry Mohd Salleh.
Sementara itu, Annuar berkata, pemimpin Pas Kelantan tidak wajar mempolitikkan mana-mana projek Kerajaan Pusat yang terlewat di negeri ini kerana jumlahnya kecil berbanding ribuan projek yang dilaksanakan.
Katanya, rakyat tidak akan keliru dengan polemik itu kerana hakikatnya banyak kerajaan negeri yang langsung tidak dilaksana meskipun papan tanda dinaikkan.
"Kalau terlewat disiapkan, bukan bermakna terbengkalai. Sesetengah kontraktor diberi masa tambahan untuk menyiapkan sesuatu projek yang lewat kerana pelbagai masalah.
"Pada masa sama ada kontraktor penyelamat ditugaskan untuk elak projek terbengkalai," katanya.
-Berita Harian-