KOTA BHARU 10 Jun 2007 - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membuka kampus cawangan kedua di Perak dalam usaha meningkatkan enrolmennya kepada 200,000 pelajar menjelang 2010 seperti hasrat kerajaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed, berkata pembinaan kampus baru di Tapah bagi menampung keperluan pelajar yang meningkat di kampus induk, Shah Alam serta 14 cawangan di seluruh negara, ketika ini.
Pembinaan kampus baru itu bagi merealisasikan hasrat kerajaan menambah jumlah pelajar UiTM dari 90,000 kepada 200,000 orang menjelang 2010 selaras usaha menjadikannya sebagai universiti bertaraf dunia.
"Daripada jumlah itu, 60,000 pelajar akan diserap masuk ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan kolej bersekutu melalui program usaha sama dan francais," katanya pada sidang media selepas program wawancara Bersama Kelantan FM, di sini, semalam.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah ketika dihubungi berkata, urusan pengambilan tanah kampus kedua di Perak selepas Seri Iskandar itu, sudah diselesaikan tetapi tarikh operasinya belum ditetapkan.
Katanya, jumlah pelajar yang akan ditempatkan di kampus berkenaan masih dalam kajian dan bergantung kepada keperluan semasa dan dasar dari segi pemantauan kualiti universiti berkenaan.
Beliau berkata, UiTM kini menjalinkan kerjasama secara francais dengan 20 IPTS bagi menempatkan pelajarnya dalam pelbagai bidang dan jumlah itu akan ditambah menjelang 2010 berdasarkan permohonan yang layak.
Dr Ibrahim memberi jaminan, kualiti pendidikan yang ditawarkan di UiTM tidak akan terjejas walaupun terpaksa menampung peningkatan pelajar sehingga 110,000 orang.
Walaupun jumlah pelajar meningkat, ia tidak memberi masalah kepada UiTM dari segi kualiti kerana kita mempunyai profesional dari dalam dan luar UiTM yang sentiasa memantaunya.
“Kualiti UiTM dijamin oleh standard antarabangsa dan kami juga mempunyai sebuah jawatan kuasa khas pada peringkat IPTS yang memantau kualiti pembelajaran di kolej bersekutu," katanya.
-Berita Harian-