
Gelanggang futsal di Bukit Jering telah siap dibina dan boleh digunakan pada bila-bila masaJELI, 12 MAC 2010 - Kemudahan tiga gelanggang futsal hasil usaha Ahli Parlimen Jeli, Dato' Sri Mustapa Mohamed membina generasi Jeli yang sihat, cergas dan cerdas kini siap sepenuhnya.
Gelanggang futsal bernilai RM150,000 setiap satu itu dibina penghujung tahun lalu itu kini mampu digunakan dalam merencanakan pelbagai aktiviti untuk anak-anak muda di parlimen Jeli.
Pembinaan ke semua gelanggang yang di tempatkan di Kampung Bukit Jering dan Ayer Lanas itu mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Jeli manakala bagi gelanggang di Batalion Kedua Rejimen Sempadan di Batu Melintang mendapat sumbangan dari To'Pa.
Pengerusi Majlis Sukan Daerah Jeli, Khairul Ikhwaniza Mohd Zahari berkata, wujudnya tiga gelanggang berkenaan maka ianya akan memberi satu lagi nilai tambah kepada parlimen Jeli.
Menurutnya, usaha To'Pa ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan anak-anak muda tetapi golongan dewasa di setiap DUN di parlimen ini.
"Pembinaannya juga dilihat dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain selain menggalakkan gaya hidup sihat,"katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Belia Bandar Jeli, Wan Thakormunshi Wan Mustafa berkata, hasil usaha To'Pa ini bukan sahaja dapat dilihat hanya kemudahan semata-mata tetapi peluang untuk anak-anak muda membina bakat mereka dalam bidang sukan.
"Bakat-bakat muda dalam sukan futsal ini mampu dicungkil sebaik mungkin dan apa yang dilihat ini menunjukkan keprihatinan To'Pa membina serta membimbing anak-anak muda untuk berada dilandasan betul pada usia mereka,"katanya.