KUALA LUMPUR, 10 Mac - UMNO tidak perlu mempelawa mana-mana bekas pemimpin parti pembangkang menyertai parti itu kerana UMNO sentiasa membuka pintu kepada sesiapa saja untuk menyertainya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, terserah kepada individu terbabit untuk membuat keputusan sendiri sama ada menyertai UMNO atau tidak.
“Saya fikir tidak perlu untuk kita mempelawa mereka menyertai Umno kerana mereka sendiri tahu yang kita tidak pernah menutup pintu.
“Di peringkat awal, mungkin mereka berpendapat lebih selesa menjadi ahli Bebas dan tidak mahu dituduh dipujuk pemimpin Umno. Mereka ada pendirian sendiri dan kita hormati,” katanya selepas merasmikan Sidang Ke-49 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), di sini , hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.
Muhyiddin mengulas tindakan tiga Ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti, manakala seorang lagi dipecat daripada parti itu.
Ahli Parlimen terbabit mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas, iaitu Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Zulkifli Noordin, (Kulim-Bandar Baharu).
Sementara itu pada majlis berasingan, Muhyiddin berkata parti besar Melayu perlu mencontohi sejarah terutama ketika kisah Natrah tercetus pada 1950, iaitu bagaimana tiga parti politik berbeza ideologi iaitu Umno, Hizbul Muslimin dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) bersatu demi mempertahan kesucian Islam.
Katanya, dalam kisah Natrah, umat Islam dan pemimpin parti yang berbeza latar ideologi politik mampu bersatu mempertahankan kesucian Islam yang ketika itu dipandang rendah oleh penjajah.
“Kombinasi perjuangan dua parti besar Melayu ketika itu mempertahankan kebenaran dan kesucian wajar dicontohi hari ini,” katanya pada majlis pelancaran buku Natrah – Cinta, Rusuhan dan Air Mata hasil penulisan Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datin Seri Fatini Yaacob.
Muhyiddin berkata, ada dua perkara penting mengenai kisah Natrah yang terus relevan sehingga kini iaitu persefahaman dan perpaduan politik umat Islam ketika memperjuang isu Natrah dan konflik antara undang-undang Islam dan undang-undang sivil. -MediaUMNO/BHarian