PUTRAJAYA ,9 Mac – Pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama tidak perlu diwujudkan semula. Tiada jaminan pemilihan begitu mampu memberi lebih banyak pembangunan, faedah kepada rakyat dan kesejahteraan kawasan perbandaran.
Yang pastinya semasa tempoh pilihan raya rakyat menempuh satu lagi minggu kempen politik dan fokus ahli majlis kelak lebih tertumpu untuk kekal popular, dapat undi terbanyak pad pilihan raya PBT akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana proses tersebut tidak semestinya menjamin perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjadi lebih baik.
“Tidak perlu diwujudkan semula kerana ia hanya akan mementingkan proses politiking di peringkat tempatan.
“Apa yang hendak kita berikan tumpuan ialah dari segi perkhidmatan kita kepada rakyat mesti diutamakan daripada proses pemilihan politik itu sendiri.
“Jadi pemilihan dan kempen itulah yang menjadi tumpuan kepada mereka nanti (sedangkan) tidak semesti melalui proses ini menjadikan PBT lebih baik dari segi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. -MediaUMNO/Utusan