PULAU PINANG, 10 Mac – Golongan nelayan di sekitar kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas berasa lega dan berterima kasih di atas insentif RM200 sebulan menerusi skim sara hidup nelayan yang diberikan kerajaan bermula Jun 2008.
Menurut mereka, bantuan yang diberikan itu dapat mengurangkan bebanan yang mereka tanggung terutama dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih.
Seorang nelayan, M. Krisnan, 36, berkata, insentif itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300 nelayan sekitar kawasan itu.
Katanya, pemberian insentif itu menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap nasib golongan nelayan di negara ini yang turut berdepan kenaikan kos sara hidup.
”Insentif ini merupakan hadiah kepada kami dan ia membuktikan kerajaan tidak pernah melupakan golongan nelayan daripada arus pembangunan negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Ketika membentangkan Bajet 2009, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan RM300 juta di mana RM180 juta daripadanya untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan.
Sejumlah RM120 juta pula disalurkan sebagai insentif tangkapan ikan.
Seorang lagi nelayan, Siti Asa Omar, 53, pula berkata, insentif berkenaan boleh digunakan untuk menampung peningkatan kos pembelian peralatan menangkap ikan yang cukup ketara.
”Setidak-tidaknya, insentif ini dapatlah bantu kita untuk serap kenaikan harga barang sekarang dan mengekalkan margin pendapatan,” katanya.
Gim Ching Guan, 62, pula berkata, insentif berkenaan juga mampu menyuntik semangat golongan nelayan untuk terus memajukan sektor perikanan.
”Semangat hendak turun laut pun semakin meningkat, kami harap sangat supaya sokongan dan galakan seperti ini terus diberikan pada masa akan datang,” katanya. -MediaUMNO/Utusan