
Sebahagian ahli pergerakan Puteri UMNO yang hadir menyertai kursus.
Norwahida Patuan(gambar kecil)
PASIR MAS, 7 MAC 2010 - Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, dekat sini menggerakkan program pemantapan sayapnya apabila 36 jentera hadapan dihantar menyertai kursus Biro Tata Negara di Kem Desa Mahmod.
Ketua, Norwahida Patuan berkata, kursus pemantapan jentera hadapan itu bermatlamatkan memantapkan perjalanan pergerakan Puteri UMNO Kelantan dalam mengerakkan lebih banyak aktiviti dan program pada tahun ini.
Menurutnya, kursus selama tiga hari dua malam itu turut menjadi medan untuk mengaturkan langkah lebih baik bagi menarik minat pengundi muda selain yang belum mendaftar.
"Kursus yang secara tidak langsung membina hubungan lebih baik dan memantapkan lagi cara kerja pergerakan Puteri UMNO di semua bahagian di Kelantan ini merupakan pengisian pertama dilakukan pada tahun ini.
"Jentera hadapan puteri di semua bahagian akan terus dimantapkan selain digerakkan dengan pelbagai pengisian bersama akar umbi bagi memastikan UMNO menjadi juara rakyat dalam segala perkara sama ada dalam soal kebajikan, sukarelawan dan sebagainya lagi,"katanya ketika ditemui, semalam.
Daripada jumlah yang dihantar kursus, tiga daripada jentera hadapan adalah dari Jeli selain penyertaan semua pergerakan Puteri UMNO bahagian lain di Kelantan.
Kata beliau, kursus-kursus pemantapan sebegini akan cuba dilaksana sebaik mungkin selepas ini sebagai satu persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum nanti.