
PEKAN 30 MEI 2007 - Datuk Seri Najib Razak berkata dasar kerajaan mewujudkan sistem pendidikan terbuka membolehkan rakyat dari pelbagai latar belakang termasuk di kalangan penduduk miskin dan tinggal di luar bandar berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading.
Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi dasar sedemikian juga, peluang pendidikan dapat diberi secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau di mana keluarga mereka tinggal.
Dengan dasar terbuka sistem pendidikan negara, sesiapa saja berpeluang mendapat pendidikan hingga ke peringkat tertinggi. Untuk berjaya dalam pendidikan bukan soal persekitaran atau peluang, tetapi diri kita sendiri.
Kalau ada keinginan kuat, tiada sebab kita tak boleh berjaya. Generasi hari ini perlu sedar dunia berubah pantas dan semakin mencabar. Globalisasi dan liberalisasi memerlukan ilmu pengetahuan serta kemahiran.
“Hanya ilmu dan kemahiran akan menjamin kita mencapai kecemerlangan lebih tinggi, kerana jika tidak kita akan terus berada pada takuk lama, tidak mampu berdepan cabaran masa depan yang semakin berliku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penyerahan anak angkat institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan cek Yayasan Pintar kepada Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed , Pengerusi Unitar, Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim; beberapa naib canselor dan wakil IPTA lain serta ibu bapa angkat pelajar IPTA berkenaan.
Seramai 800 pelajar dari 18 IPTA diserahkan kepada ibu bapa angkat mereka sempena program itu yang diadakan sempena Pekan Fest 2007 berlangsung mulai kelmarin sehingga 3 Jun ini. Perasmian Pekan Fest 2007 disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, malam tadi.
Mengenai Pekan Fest 2007 yang turut menyelitkan program pendidikan membabitkan pelajar IPTA itu, Najib berkata, beliau berharap ia mampu mengubah minda rakyat terutama penduduk setempat termasuk di kawasan luar bandar untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
“Program anak angkat pelajar IPTA ini besar kesannya apabila siswa siswi ini ditempatkan dalam keluarga yang mempunyai anak yang berpotensi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, di bawah program itu, pelajar yang berpotensi untuk menjejakkan kaki ke menara gading diberi panduan dan motivasi daripada siswa dan siswi yang menjadi abang atau kakak angkat mereka selama enam hari.
-Berita Harian-