CYBERJAYA 28 Mei 2007 – Lebih 66,000 pelajar antarabangsa yang menuntut di negara ini akan menggunakan I-Kad iaitu kad pintar berteknologi terkini yang pertama didunia diperkenalkan untuk golongan itu.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, kad canggih yang dilengkapi 17 ciri keselamatan fizikal itu akan diberikan secara berperingkat-peringkat kepada para pelajar asing yang berdaftar secara sah dalam tempoh tiga bulan.
Kad tersebut katanya, akan dikuatkuasakan penggunaannya bermula 1 Jun ini bagi membantu memudahkan pelajar asing berurusan sepanjang tempoh mereka belajar di Malaysia.
Antara ciri-ciri keselamatan I-Kad ialah penyimpanan dua cap jari biometrik, penggunaan gambar berwarna dan maklumat pemegang kad pada cip yang hanya memerlukan saiz kurang dari dua kilobit.
“Kad tersebut menggunakan teknologi Cip Keselamatan Karsof buatan Malaysia, manakala empat jenis teknologi yang digunakan pada kad itu sedang dipatenkan sebagai teknologi negara ini bagi menjamin I-Kad tidak dipalsukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan I-Kad kepada 29 pelajar asing dari beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kolej Universiti LimKokWing di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.
Radzi menambah, kad pengenalan yang baru itu akan memudahkan tugas Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penguat kuasa Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan semasa operasi.
Katanya, para penguat kuasa tidak perlu membawa alat pengimbas untuk mengesan maklumat pemegang I-Kad kerana ia boleh disemak melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
“Dulu kita ada kad pelajar yang perlu diperbaharui setiap tahun tetapi I-Kad ini sah tempoh lakunya sehingga mereka tamat belajar,” katanya.
Ditanya apakah bentuk denda yang akan dikenakan kepada pelajar yang merosakkan atau menghilangkan I-Kad, beliau berkata, mereka akan didenda tetapi jumlahnya belum ditetapkan oleh kerajaan.
Sementara itu, Mustapa berkata, penggunaan e-Pass pelajar dan I-Kad pelajar akan membantu IPT swasta menarik lebih ramai pelajar asing mengikuti pengajian di negara ini
-Utusan-