PEKAN 30 Mei – Persekitaran bukan satu faktor yang menjadi penghalang kepada seseorang pelajar untuk meraih kejayaan ke peringkat tertinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau percaya keinginan kuat dalam diri seseorang untuk maju dalam pelajaran turut memainkan peranan utama dalam memastikan kejayaan.
Beliau berkata, dalam hubungan ini, sistem pendidikan negara berjaya mewujudkan sistem dan prasarana pendidikan yang amat baik tanpa mengira latar belakang seseorang pelajar.
“Melalui sistem kita yang terbuka, adil dan saksama ini, ribuan pelajar telah berjaya ke menara gading sama ada orang kampung atau keluarga berpendapatan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Perasmian Penyerahan Anak Angkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Penyerahan Cek Yayasan Pintar di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Dato‘ Mustapa Mohamed.
Seramai 800 siswa dari 18 buah IPTA seluruh negara terlibat dengan Program Anak Angkat selama enam hari sempena Pekan Fest 2007 yang bermula hari ini sehingga 3 Jun.
Najib menjelaskan, jika ada keinginan yang kuat untuk berjaya, tidak ada sebarang halangan bagi seseorang pelajar itu untuk mencapai kejayaan ke peringkat yang sehabis tinggi.
Katanya, generasi hari ini harus sedar dunia berubah sangat pantas dan mereka harus bersedia mengharungi gelombang perubahan demi masa depan yang cemerlang.
“Dalam meniti arus perubahan, antara perkara yang perlu diambil perhatian tidak lain tidak bukan ialah ilmu pengetahuan dan kemahiran,” ujarnya.
Beliau turut menyeru IPTA di negara ini supaya memperbanyakkan lagi aktiviti yang boleh menjana modal insan berkualiti dengan mempunyai kerangka minda yang betul, berdaya maju, progresif dan proaktif.
Tambahnya, program seumpama itu, bagaimanapun perlu berteraskan ajaran agama dan tatasusila yang serasi dengan semangat Rukun Negara.
-Utusan-