
Mustapa turun padang bersama penduduk
KUALA LUMPUR, 26 Feb 2010 – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata wang ihsan akan diberikan secara telus kepada rakyat dan tidak timbul soal Kerajaan Kelantan menerimanya atau tidak.
Malah, jelas beliau, Kerajaan Pusat akan pastikan rakyat sendiri tahu siapa yang akan menerima wang ihsan tersebut.
Beliau turut memberi jaminan rakyat Kelantan tetap akan mendapat hak mereka dan Kerajaan Pusat sedang menentukan siapa yang berhak mendapat wang ihsan dan kaedah yang akan diberikan.
“Kita nak bagi kepada yang hendak menerima, mereka yang tidak mahu terima tak mengapa.
“Kita nak bagi (wang ehsan) kepada rakyat kerana yang pokoknya rakyat yang dapat manfaat dan kita akan buat secara telus. Semua orang akan tahu siapa yang dapat sebab kita akan bagi tahu kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berakhir lewat malam tadi, di sini. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib-naib Presiden dan Ketua-ketua sayap.
Jelas beliau lagi pendirian kerajaan berhubung pemberian wang ehsan tersebut adalah mengikut perlembagaan dan undang-undang negara.
“Pendirian Kerajaan Pusat jelas dan akan tetap memberikan wang ihsan kepada rakyat. Mengikut pakar-pakar undang-undang pun tidak ada apa-apa yang dikemukakan (oleh Kerajaan Kelantan dan sekutunya) yang boleh membuktikan pendirian kerajaan itu tidak betul.
“Apa yang saya nak tekankan ialah apa yang patut diterima rakyat Kelantan akan tetap diberikan oleh kerajaan pusat kepada rakyat,” katanya.
Walau pun kini Kerajaan Kelantan mencabar kesahihan wang ihsan, rakyat Kelantan yang berhak menerima bantuan tetap akan menerimanya, katanya.
Tambah beliau, jika mahu dikira dari segi perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), berjumlah lebih daripada 7 bilion walaupun Kelantan di bawah pemerintahan pembangkang.
Mengenai tindakan dan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh yang bercanggah dan tidak sehaluan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai wang ihsan, Perdana Menteri berkata, UMNO akan mendengar dahulu pandangan ahli parti sebelum sebarang membuat sebarang kesimpulan atau tindakan. -UMNONews