JELI 21 Mei 2007 - Pergerakan Pemuda UMNO percaya bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah faktor penentu bila pilihanraya umum akan diadakan, seperti yang cuba digambarkan oleh beberapa pihak.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Anwar yang kini penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan membawa kesan dalam politik tanah air dan gambaran ini semakin jelas dalam pilihanraya kecil di Ijok apabila rakyat telah menolaknya.
"Saya rasa Anwar bukan satu faktor yang diambil perhatian tentang masa pilihanraya umum malah beliau bukan faktor yang akan dipertimbangkan langsung oleh pucuk pimpinan.
"Anwar bukan satu faktor besar, selepas Ijok pengaruhnya makin berkurangan dan dia tidak ada kesan pada politik tanah air, " katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Gotong Royong Perdana Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah di sini semalam.
-Utusan Malaysia-