
JELI 21 Mei 2007 – Kementerian Pengajian Tinggi mensasarkan kira-kira 1,000 pelajar dari tiga wilayah di Selatan Thailand melanjutkan pelajaran di universiti awam dan swasta negara ini bagi sesi semester yang bermula Julai ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed berkata ketika ini, 600 pelajar dari Pattani, Yala dan Narathiwat belajar di beberapa universiti awam tempatan.
Beliau berkata, sebahagian besar pelajar itu mengikuti pengajian peringkat lepasan ijazah di Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
“Kita amat mengalu-alukan dan sedia menerima lebih ramai pelajar dari Selatan Thailand untuk belajar di universiti negara ini terutama peringkat lepasan ijazah.
“Bagaimanapun, kita akan memastikan pemilihan tempat pengajian untuk mereka bukan di universiti awam tetapi turut merangkumi swasta,” katanya selepas menghadiri Program Cakna Pemimpin Bersama Masyarakat di Sungai Rual, semalam.
Mustapa berkata, ketika ini hanya segelintir pelajar dari Selatan Thailand melanjutkan pelajaran dari negara ini menerusi pembiayaan kerajaan negara itu.
Sehubungan itu, katanya, beliau dijangka melawat Thailand bulan depan bagi membincang dan mempromosikan peluang melanjutkan pelajaran di negara ini kepada pelajar di Thailand.
-Berita Harian-